Nelson San Martin 'berhajat sesuatu' untuk Kedah


  • Podium
  • Selasa, 25 Jan 2022

SAN Martin (kiri) merupakan salah seorang pemain import legenda Kedah yang disegani. — Facebook

'CINTA' bekas pemain import yang juga legenda Kedah, Nelson San Martin begitu menebal meskipun sudah meninggalkan pasukan berkenaan kira-kira sembilan tahun lalu.

Pada Selasa, San Martin berkongsi beliau menyediakan kertas kerja teknikal bola sepak dan pembangunan buat Kedah.

"Kertas kerja itu disediakan oleh saya dan salah seorang pelatih Instituto Nacional De Futbol (INAF) yang berpangkalan di Chile iaitu Jorge Hoffmann.

"Kertas kerja terbabit disediakan selepas kontrak saya bersama Langkawi City FC tamat pada 2020," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Jelas San Martin, kertas kerja berkenaan dibuat bagi tujuan pembangunan bola sepak Kedah bermula daripada peringkat belia sehingga senior.

"Itu adalah gabungan pengalaman saya bermain di Kedah dan pengetahuan daripada kursus kejurulatihan.

"Suatu hari nanti, kertas kerja ini akan berguna sebagai panduan dan rujukan apabila peluang itu datang, untuk Kedah atau mana-mana pasukan.

"Kertas kerja ini bukti keghairahan saya dalam bola sepak dan kecintaan terhadap pasukan (Kedah)," ujarnya lagi.

San Martin merupakan salah seorang watak penting dalam kejayaan Kedah merangkul 'double treble' pada musim 2006 hingga 2008.

Bersama-sama seorang lagi pemain import, Marlon Alex James dan tunggak tempatan seperti Mohd Khyril Muhymeen Zambri serta Ahmad Fauzi Saari, Kedah mendominasi Liga Malaysia (Liga-M) ketika itu.

Malangnya, pada musim 2009, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak lagi membenarkan penggunaan pemain import dalam Liga-M, sekali gus menyaksikan San Martin terpaksa 'angkat kaki'.

Beliau begitupun kembali ke Kedah pada musim 2013 dan beraksi selama semusim bersama skuad The Red Eagle. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram