Kisah hiba bintang baharu JDT, hampir 'mati kebuluran' kerana tiada gaji


  • Podium
  • Rabu, 26 Jan 2022

MOUSSA Sidibe (kanan) bersama dengan jurulatih JDT, Benjamin Mora. — Facebook

BERAKSI untuk pasukan yang digeruni dalam liga tempatan, Johor Darul Ta'zim (JDT), Moussa Sidibe sebenarnya mempunyai kisah silam menyayat hati sebagai pemain bola sepak.

Pemain sayap kanan yang juga digelar sebagai Adama Traore JDT itu sebelum ini pernah mendakwa yang dirinya hampir mati kebuluran kerana tidak dibayar gaji.

Difahamkan, pengalaman pahit itu berlaku ketika dia berusia 22 dan sedang beraksi untuk pasukan di liga ketiga Sepanyol, Deportivo Guadalajara pada 2017.

Pemain berketinggian 1.70 meter itu berkata, pasukannya ketika itu memaksa dia menjalani latihan namun enggan membayar gajinya dengan alasan mempunyai masalah kewangan yang teruk ketika itu.

Malah, Sidibe enggan dilepaskan pasukannya kerana masih dalam kontrak walaupun pemain itu meminta untuk keluar dan menganggap tindakan itu sebagai satu perhambaan buatnya.

"Mungkin dengan cara mati kelaparan sahaja yang akan membuatkan saya bebas daripada kelab ini," katanya dalam satu ciapan yang di akaun Twitter miliknya pada 2017 yang kemudiannya dilaporkan portal The Sun setahun kemudian.

Selain gaji, pemain kelahiran Mali itu juga mendedahkan yang dia tidak menerima sebarang bonus sepanjang bersama pasukan itu.

Tambah menyedihkan, Sidibe ketika itu hanya berharap kepada bantuan kewangan ibu bapanya sehinggalah kedua orang tuanya sudah tidak mampu memberinya wang saku.

Kelab Sepanyol itu juga berdegil dan tidak mahu melepaskannya walaupun dia telah memaklumkan yang kehidupannya ketika itu hanyalah berharap kepada bantuan simpati rakan-rakannya.

Siapa sangka, kerana minat yang tinggi dalam bola sepak walaupun berdepan ujian yang cukup getir, Sidibe kini menjadi rebutan dan beraksi dengan kelab bola sepak yang cukup berpengaruh dalam liga tempatan.

Untuk rekod, nilai Sidibe berada pada tanda harga 300,000 euro iaitu bersamaan RM1.4 Juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram