Syafiq cipta hatrik, Ramon puji JDT


  • Podium
  • Rabu, 26 Jan 2022

SYAFIQ Ahmad kini dipinjamkan bersama skuad Kedah.

BUKAN lagi rahsia juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) mempunyai kemudahan bola sepak paling lengkap di tanah air berbanding kelab-kelab lain.

Dengan memiliki Stadium Sultan Ibrahim yang memiliki kemudahan berkelas dunia, JDT juga mempunyai beberapa fasiliti lain seperti padang latihan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam (juga dipanggil ‘PSG’) yang dilengkapi peralatan canggih seperti anti-gravity treadmill.

Berbeza dengan treadmill biasa, anti-gravity treadmill mampu mengurangkan berat pengguna di atas mesin tersebut. Berlari di atasnya seolah-olah sedang berlari di permukaan bulan yang bergraviti rendah.

Selain itu, JDT juga memiliki mesin dikenali sebagai infrared sauna dalam gimnasium untuk membuatkan badan berpeluh dan mempercepatkan proses detoksifikasi badan.

JDT turut menyediakan kapsul terapi oksigen untuk mempersiapkan fizikal para pemainnya bagi menghadapi jadual perlawanan yang sibuk.

Alat yang diberi nama ‘Airpod’ ini bertindak sebagai mesin terapi fizikal canggih yang membekalkan oksigen tambahan sebanyak 30 hingga 35 peratus kepada tubuh badan pemain menerusi serapan ke dalam plasma darah, organ, tisu badan dan otak.

Ramon Marcote

RAMON pernah berbakti bersama Kedah selama empat tahun sebagai pembantu pengurus dan pengurus antara musim 2014 hingga 2018.

Bagi bekas pengendali Kedah, Ramon Marcote, kelengkapan canggih yang dimiliki JDT mampu meningkatkan potensi sebenar pemain kelab itu.

Ramon pernah berbakti bersama Kedah selama empat tahun sebagai pembantu pengurus dan pengurus antara musim 2014 hingga 2018.

Beliau memiliki pengalaman sebagai jurulatih kecergasan untuk kelab Sepanyol, Altetico Madrid B dan kini merupakan ketua jurulatih skuad remaja Arab Saudi, Al Hilal

Mengambil contoh pemain pinjaman ke Kedah Darul Aman (KDA) FC, Syafiq Ahmad, Ramon pasti tempoh beberapa tahun penyerang itu berlatih dan beraksi bersama JDT sudah meningkatkan tahap potensinya.

"Ini kerana dia (Syafiq) berlatih di kemudahan terbaik di Malaysia bersama pemain terbaik tempatan dan bintang luar negara," katanya kepada Majoriti.

Beliau menjawab persoalan tentang prestasi baik Syafiq bersama KDA FC dalam perlawanan pramusim apabila melakar hatrik ketika menentang MADA FC.

Selain itu, kata Ramon, tahap permintaan objektif JDT dalam Liga Super dan Liga AFC juga membantu meningkatkan kualiti permainan pemain kelab itu termasuk Syafiq.

JDT melalui transformasi sejak 2013 di bawah pimpinan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan kini mencapai tahap tertinggi dalam bola sepak negara sama ada dari segi kemajuan dan kejuaraan.

Dalam tempoh tersebut, JDT menjulang gelaran Liga Super sebanyak sembilan kali berturut-turut dan menjadi juara AFC pada edisi 2015.

JDT juga memenangi Piala Sumbangsih sebanyak enam kali, Piala FA (1), dan Piala Malaysia (2). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ramon Marcote, Kedah, JDT, Syafiq Ahmad