Lepas lakar hatrik, bekas sifu beri nasihat terbaik buat Syafiq


  • Podium
  • Rabu, 26 Jan 2022

SYAFIQ menjaringkan gol ketika aksi menentang MADA FC. — KDA FC

JARINGAN hatrik pada perlawanan pramusim bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC ternyata memberi bayangan bahawa Syafiq Ahmad akan menyinar kembali.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu tampil garang pada aksi pramusim apabila menewaskan juara Liga Bola Sepak Sosial 2021 MADA FC 9-0 petang Isnin.

Pemain berusia 26 tahun itu kini dipinjamkan ke skuad Helang Merah dari Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas dilihat tidak lagi menjadi sebahagian perancangan juara Liga Super itu pada musim 2022.

Dengan peluang bersama Kedah, Syafiq berupaya memulihkan prestasinya ke tahap terbaik seperti yang pernah dicapai ketika di bawah kendalian bekas ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dan Ramon Marcote.

Mengulas tentang pengalaman menguruskan Syafiq ketika mengemudi Kedah pada musim 2018, Ramon berkata, Syafiq akan menjadi pemain yang membawa perubahan di kelab gergasi utara tanah air itu.

"Semasa saya berpeluang bekerja dengan Syafiq, dia masih muda dan menunjukkan persembahan yang luar biasa.

"Pada pendapat saya, Syafiq akan menjadi pemain yang membuat perubahan di Kedah," katanya kepada Majoriti.

Berhubung prestasi semasanya, Ramon berkata, Syafiq perlu mengekalkan tahap kehendak dirinya seperti yang dialami ketika bersama JDT.

Jelasnya, JDT menuntut setiap pemainnya mencapai objektif dalam Liga Super dan Liga AFC, sekali gus membuatkan pemain kelab Harimau Selatan itu mencapai tahap tertinggi.

"Nasihat terbaik buat Syafiq adalah mengekalkan tahap kehendak diri supaya persembahannya kekal pada prestasi tertinggi.

"Ini supaya dia menikmati setiap minit perlawanan bersama Kedah.

"Saya berharap Syafiq dapat mengharungi musim yang hebat kerana dia dan keluarganya sememangnya layak," katanya.

Ramon pernah berbakti bersama Kedah selama empat tahun sebagai pembantu pengurus dan pengurus antara musim 2014 hingga 2018.

Beliau memiliki pengalaman sebagai jurulatih kecergasan untuk kelab Sepanyol, Altetico Madrid B dan kini merupakan ketua jurulatih skuad remaja Arab Saudi, Al Hilal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram