Teong Kim tidak simpan dendam terhadap FAM


  • Podium
  • Isnin, 24 Jan 2022

TEONG Kim menafikan dia menyimpan dendam terhadap FAM. — Facebook

BEKAS Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim menafikan dakwaan bahawa dia menyimpan dendam dengan Persatuan Bola Sepak (FAM) gara-gara kontraknya sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan bawah 16 tahun (B-16) ditamatkan.

Sebaliknya, Teong Kim menegaskan dia hanya tidak bersetuju dengan cara FAM mengendalikan bola sepak Malaysia.

“Saya seorang jurulatih yang profesional dan juga ahli sukan, saya tidak menyimpan sebarang dendam terhadap Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin atau FAM kerana menamatkan kontrak saya sebagai ketua jurulatih skuad B-16 tahun negara.

“Tetapi saya tidak setuju dengan cara mereka menguruskan bola sepak di negara ini,” kata Teong Kim seperti dipetik di Instagram.

TANGKAP layar komen Teong Kim di Instagram. — Instagram

Teong Kim sebelum ini mengkritik situasi semasa bola sepak negara selepas Harimau Malaya mengalami kegagalan ketika kejohanan Piala Suzuki AFF pada Disember tahun lalu.

Terdahulu, pada sidang media FAM yang diadakan minggu lalu, Hamidin mendakwa Teong Kim tidak berpuas hati terhadap beliau dan FAM selepas kontraknya sebagai ketua jurulatih B-16 tidak disambung tetapi menegaskan ia adalah keputusan bersama Exco persatuan itu.

Selain itu, Hamidin menyatakan kesediaan untuk berjumpa dengan Teong Kim sekiranya tujuannya adalah bagi memajukan bola sepak negara dan bukannya sekadar publisiti.

“Saya dan Exco boleh berjumpa dengan Teong Kim pada bila-bila masa, bukan dia saja, sesiapa pun boleh kerana kita sama-sama nak naikkan bola sepak Malaysia," ujar Hamidin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram