'Mungkin dia bagus tapi...'


  • Podium
  • Isnin, 24 Jan 2022

PELANTIKAN Pan-gon dianggap satu pertaruhan menjelang kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun kelak. — Facebook

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) turut tidak ketinggalan dalam trend pasukan negara di rantau Asia Tenggara yang menggunakan khidmat jurulatih dari Korea Selatan apabila melantik Kim Pan-gon sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan.

Pemilihan Pan-gon yang merupakan Pengarah Pasukan Kebangsaan di Persatuan Bolasepak Korea (KFA) sejak 2018 itu ibarat satu pertaruhan berani, mengambil kira tempoh masa lama beliau ‘berehat’ daripada mengendalikan pasukan kebangsaan.

Ketika ini pasukan Vietnam dan Indonesia turut menggunakan khidmat jurulatih dari Korea Selatan.

Tidak seperti jurulatih asing yang pernah membimbing skuad negara sebelum ini, Pan-gon tidak mempunyai tempoh panjang sebagai ketua jurulatih di pentas antarabangsa, sebaliknya hanya pernah mengendalikan pasukan kebangsaan Hong Kong dari 2009 hingga 2010 dan 2012 hingga 2017.

Persoalan berlegar-legar dalam fikiran penulis ketika ini sama ada jurulatih berusia 52 tahun itu yang sebelum ini Pengarah Pasukan Kebangsaan di KFA, mampu mengubah prestasi skuad Harimau Malaya memandangkan peranan sebagai pengarah pasukan berbeza dengan ketua jurulatih.

Peminat bola sepak tempatan sudah pasti tidak mahu dikecewakan lagi dengan mutu permainan lemah skuad kebangsaan yang dikendalikan jurulatih asing seperti era kejurulatihan pengendali dari Portugal, Nelo Vingada.

Justeru, penulis menganggap pelantikan Pan-gon seperti mempertaruhkan misi pasukan negara layak ke Piala Asia 2023 ketika Malaysia hanya mempunyai tempoh enam bulan untuk melakukan persediaan menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia pada Jun depan.

Bagaimanapun, risiko pertaruhan itu mungkin dapat dikurangkan jika kehadiran Pan-gon bersama empat pembantunya turut dilengkapi bantuan jurulatih tempatan yang lebih mengenali landskap bola sepak negara.

"Jika jurulatih asing tidak dapat bantuan daripada jurulatih tempatan, mereka hadapi risiko amat tinggi sekali kerana mereka tidak kenal pemain dan dalam masa singkat, memang susah dia nak dapat apa diinginkan untuk jayakan gaya permainannya.

"Tiada siapa boleh beri jaminan dia akan berjaya atau gagal. Mungkin dia bagus tetapi tak kena dengan sistem bola sepak tempatan ataupun pemain kita tetapi jurulatih asing akan membawa idea-idea baharu, bentuk latihan berbeza dan dimensi baharu,” kata bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, B.Sathianathan.

Mengambil contoh pelantikan Vingada pada Mei 2017, pengendali yang digelar sebagai 'The Professor' kerana kaedah pengurusannya yang bijak itu gagal melaksanakan tugas membawa Malaysia keluar daripada kemerosotan bola sepak.

Vingada gagal meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanannya termasuk lima aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 sekali gus Malaysia terus kempunan untuk layak beraksi di kejohanan berprestij itu.

Prestasi Vingada itu menjadikan beliau sebagai ketua jurulatih kebangsaan dengan rekod prestasi paling buruk dalam tempoh lebih 30 tahun biarpun memiliki latar belakang kejurulatihan yang meyakinkan berbanding ketua jurulatih selepas itu, Tan Cheng Hoe.

Meskipun Cheng Hoe tidak mempunyai rekod membimbing mana-mana pasukan kebangsaan, beliau berjaya memberi nafas baharu dalam corak permainan skuad negara selain membawa Malaysia muncul naib juara Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2018.

Beliau juga berjaya memperbaiki ranking pasukan negara yang berada di kedudukan terburuk dalam sejarah bola sepak Malaysia di tangga ke-178 dunia kepada posisi ke-153.

Prestasi terbaik skuad kebangsaan di bawah Cheng Hoe adalah pada musim 2019 apabila pasukan negara merekodkan sembilan kemenangan daripada keseluruhan 13 perlawanan termasuk aksi persahabatan Tier 1 dengan empat daripadanya menewaskan pasukan ranking lebih tinggi pada ketika itu.

Segala persoalan dan perbandingan itu tidak bermaksud penulis mempersoalkan kemampuan dimiliki Pan-gon, sebaliknya teruja untuk melihat impak dibawa beliau yang merupakan jurulatih Korea Selatan pertama membimbing skuad Harimau Malaya.

Sudah pasti harapan adalah untuk melihat Pan-gon berjaya mengemudi skuad kebangsaan terutama dalam menamatkan penantian skuad kebangsaan layak secara merit ke Piala Asia selepas lebih 40 tahun gagal melakukannya.

Selain itu, FAM diharap dapat memanfaatkan 10 cadangan dan langkah diberikan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya baru-baru ini untuk memperbaiki segala kelemahan yang membawa kepada kemerosotan skuad kebangsaan ketika ini.

Ia termasuk menetapkan tempoh minimum 14 hari latihan pusat untuk menghadapi Piala AFF, menyediakan templat laporan yang lebih komprehensif, pelan kontigensi untuk menangani pandemik Covid-19 dan memastikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyesuaikan jadual liga dengan jadual pasukan kebangsaan.

Selain itu, cadangan untuk mewujudkan pasukan prestasi tinggi yang terdiri daripada kakitangan teknikal, sains dan perubatan sukan, penganalisis serta pegawai statistik seperti yang digunakan di luar negara untuk meningkatkan prestasi pasukan secara lebih berstruktur dan berdasarkan bukti. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram