TAN Cheng Hoe tidak patut berundur sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, kata Lim Teong Kim.
Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu berkata kepada Majoriti, Cheng Hoe sepatutnya dapat menyerap tekanan yang diterima sepanjang menggalas tugas tersebut termasuk daripada penyokong dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu sendiri.
"Bagi saya, sepatutnya Tan Cheng Hoe tidak patut berundur. Ini pendapat saya.
"FAM tidak suruh kamu berundur, jadi kenapa berundur. Sepatutnya dia mesti habiskan kontrak yang berbaki dan bawa pasukan ini ke AFC pada bulan Jun.
"Dia sudah kenal pemain dan mempunyai masa enam bulan untuk memperbaiki kelemahan pasukan semasa kempen Piala AFF," katanya.
Tetapi bagi Teong Kim, Cheng Hoe membuat keputusan yang silap untuk meletak jawatan kerana dia mampu membawa perubahan yang besar termasuk dalam soal profesionalism dalam kancah bola sepak Malaysia.
Katanya, bekas jurulatih Kedah itu patut menyambung kontrak dan meminta 'tangan ghaib' agar tidak campur tangan dalam soal pemilihan dan latihan pemain.
"Cheng Hoe perlu gunakan kuasanya sebagai ketua jurulatih. Tapi dia silap buat keputusan untuk letak jawatan dan peluang ini dah terlepas.
"Keputusan ini hanya akan menyusahkan jurulatih tempatan kerana selagi isu 'tangan ghaib' tidak dibongkar ke media dan penyokong, selagi itu mereka tidak akan faham," katanya.
Bukan pasukan kampung
Tentang tekanan yang diterima Cheng Hoe, Teong Kim berkata sebagai jurulatih, dia seharusnya membiasakan diri dengan keadaan tersebut.
Katanya perkara itu merupakan lumrah dalam bola sepak apatah lagi apabila diberi tanggungjawab untuk menggalas pasukan negara.
"Tekanan ibarat udara yang kita hirup. Memang itu lumrahnya dalam bola sepak. Kalau tidak boleh terima tekanan, jangan jadi jurulatih.
"Kita bukan melatih pasukan kampung tapi pasukan negara. Memang wujud tekanan sebegini, jadi perlu biasakan diri dengan benda-benda tersebut.
"Yang penting, kamu kena jujur dengan kerja, pemain dan sesiapa pun," katanya.
Tambah Teong Kim, Cheng Hoe sepatutnya mempunyai winning mentality dan semangat berlawan untuk berdepan semua halangan dan tekanan.
"Jangan cepat mengalah. Dia hanya menunjukkan loser mentality yang boleh membawa aura negatif kepada pasukan.
"Sebagai jurulatih, dia perlu menjadi contoh kepada pasukan dengan menunjukkan winning mentality," katanya.
Teong Kim berkata, penyokong akan dapat terima kenyataan jika pasukan negara kalah dengan cara permainan yang betul.
"Menang kalah itu adat permainan. Kalau kalah, tengok macam mana kita kalah. Kalau kalah macam Indonesia lawan Thailand, penyokong akan dapat terima.
"Penyokong Malaysia bukan bodoh. Jika mereka lihat pemain kita bersaing, mereka akan dapat terima selagi beri aksi yang terbaik," katanya.
Jangan malu dan segan
Teong Kim berkata, beliau juga tidak dapat menerima keputusan yang dibuat oleh Cheng Hoe meletak jawatan kerana masih ada perkara yang belum diperjelaskan selepas pengakuan jurulatih itu berhubung isu tidak dimaklumkan FAM tentang sasaran Harimau Malaya di Piala AFF Suzuki.
Dalam satu temu bual bersama Twentytwo13, Cheng Hoe ditanya sama ada FAM ada berunding dengan beliau sebelum menetapkan sasaran untuk pasukan negara iaitu mara ke perlawanan akhir saingan Piala AFF.
Cheng Hoe mengakui tiada perbincangan antara beliau dan juga badan induk bola sepak negara itu tentang sasaran yang diletakkan.
“Semasa FAM mengumumkan sasaran untuk mara ke perlawanan akhir, saya ambil perkara itu sebagai cabaran. Saya tidak menolak, dan saya juga tidak menerima," katanya dalam wawancara itu.
Mengulas perkara itu, Teong Kim berpendapat, Cheng Hoe masih belum 'membuka mulut' sepenuhnya tentang situasi sebenar yang dihadapinya sebelum meletak jawatan.
"Jangan segan dan malu. Kalau dia (Cheng Hoe) buka mulut dan beritahu apa sebenarnya yang berlaku, barulah semua orang tahu situasi sebenar.
"Tak mengapa jika menjadi kesan sampingan. Yang penting, penggantinya akan lebih bebas buat keputusan tanpa campur tangan orang lain.
"Dan lebih penting, mereka (tangan ghaib) akan takut campur tangan kerana sudah ada jurulatih yang berani bersuara.
"Kalau tidak, sampai bila hal (campur tangan) ini tidak akan habis. Isu ini hanya akan disapu bawah karpet dan tiada siapa pun tahu.
"Cuma saya nak tanya, Presiden Persekutuan Bola Sepak Vietnam dah letak jawatan, Malaysia bila lagi?" katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram