Hamidin sedia bertemu Teong Kim, sesiapa saja bincang soal bola sepak negara


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jan 2022

TEONG Kim didakwa tidak berpuas hati dengan Mohd Hamidin selepas dipecat ketika menjadi jurulatih B-16 skuad bola sepak negara. — Facebook

BEKAS Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim sebelum ini melemparkan 'kritikan pedas' terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan kegagalan Malaysia sewaktu kempen Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura pada Disember lalu.

Pada 29 Disember lalu, Teong Kim dalam pandangannya yang disiarkan menerusi portal Majoriti, mengkritik Presiden FAM, Datuk Mohd Hamidin Amin serta kepimpinan FAM.

Kritikannya itu meliputi segenap sudut bola sepak negara termasuk soal pembangunan akar umbi, pemilihan pemain, ketua jurulatih, isu 'tangan ghaib' dan kepimpinan FAM.

Bagaimanapun, Mohd Hamidin tampil memberikan penjelasan berhubung kritikan Teong Kim itu menerusi jawapan balas yang disiarkan oleh Majoriti pada 16 Januari lalu.

Teong Kim juga sebelum ini dilaporkan sedia berjumpa dengan Mohd Hamidin bagi membincangkan tentang isu yang membelenggu skuad bola sepak kebangsaan.

Ketika ditanya tentang kesediaan Teong Kim berbuat demikian, Mohd Hamidin berkata: "Saya dan Exco FAM terbuka untuk berbincang, bukan dengan beliau sahaja tetapi dengan sesiapa pun kerana kita sama-sama nak naikkan bola sepak negara.

"Saya dengan Teong Kim sebelum ini tiada sebarang masalah, sehinggalah keputusan Pejabat Exco FAM untuk menamatkan kontraknya sebagai jurulatih Bawah 16 Tahun (B-16) negara, selepas kita tak layak Piala Dunia B-17 2019 di Peru.

"Semenjak itu, dia tidak berpuas hati dengan saya. Itu memang keputusan kami bersama kalau dari awal, dia tak layak ke peringkat tertentu, Teong Kim automatik akan dipecat.

"Bila-bila masa sahaja dia boleh berjumpa dengan saya, duduk bersama tapi bukan untuk tujuan publisiti. Kalau ada perkara baharu yang boleh ditambah baik untuk bola sepak negara, saya alu-alukan," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di Kelana Jaya, Selangor pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram