JURULATIH tempatan sama ada di kelab atau skuad negara tidak harus menjadi 'pak turut' sebaliknya perlu berani untuk bangkit dan 'melawan' pihak yang cuba mencampuri urusan kejurulatihan bola sepak, tegas Lim Teong Kim.
Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu berkata, jurulatih juga tidak perlu bimbang soal kontrak bersama pasukan masing-masing kerana peluang sentiasa ada untuk mereka bersinar di tempat lain.
"Ambil contoh Jose Mourinho. Sudah berapa banyak kelab yang dia urus. Kalau betul-betul bagus, mesti ada orang akan ambil.
"Di Eropah, jurulatih ada nilai-nilai murni dalam diri mereka. Sebab itu mereka tidak bimbang soal kontrak.
"Jadi saya merayu kepada jurulatih tempatan, jangan jadi pak turut. Bangkit dan lawan dengan orang-orang ini. Berani buka mulut.
"Orang-orang ini yang akan bunuh karier kamu jika kamu masih fikirkan soal kontrak tidak disambung," katanya kepada Majoriti.
Beliau merujuk kepada jurulatih yang tidak berani bersuara apabila soal pengurusan pemain diganggu oleh 'tangan ghaib' sama ada di peringkat kelab atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Majoriti sebelum ini memetik kenyataan Teong Kim yang menegaskan individu yang sepatutnya dibuang adalah Presiden FAM kerana setahunya, beliau yang membuat segala keputusan termasuk soal teknikal.
"Kalau nak buat keputusan ini, baik jadi jurulatih saja. Tukar tempat dengan Tan Cheng Hoe," katanya merujuk dilema pemilihan pemain yang dihadapi ketua jurulatih skuad Harimau Malaya itu pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2021 baru-baru ini.
MOURINHO menjadi contoh terbaik sebagai pengurus berbakat yang sentiasa mendapat tawaran dari kelab lain. — Reuters
Sikap pilih kasih
Jelas Teong Kim, amat penting bagi seorang jurulatih untuk menjadi menunjukkan kejujuran dan mempunyai good human being dalam diri supaya menjadi contoh kepada pemain.
Jelasnya, pemain sentiasa mengharapkan kejujuran daripada jurulatih terutamanya dalam soal pemilihan pemain.
"Pemain tahu apa yang berlaku tetapi mereka tidak mahu bercakap mengenainya.
"Ini kerana mereka bimbang tidak akan dapat peluang bermain jika bercakap. Oleh itu, jurulatih tidak boleh ada sifat pilih kasih.
"Buat dengan cara jujur. Ini nilai murni yang diharapkan pemain daripada jurulatih.
"Mereka (jurulatih) mesti jujur dengan diri sendiri. Pemain-pemain akan lihat apa yang kamu buat sama ada jujur atau tidak.
"Ada 24 pemain yang lihat tingkah laku kamu, adakah kamu berat sebelah?
"Adakah kamu pilih kasih? Mungkin ada pemain senior dalam pasukan tetapi kamu takut mereka akan lawan cakap kamu.
"Tapi kamu maki pemain muda. Ini tidak jujur. Mereka boleh nilai sendiri perkara yang berlaku," katanya.
DE Paula menjadi sasaran sebagai pemain yang dipersalahkan atas kegagalan skuad Harimau Malaya.
Jangan campur tangan
Mengulas lanjut tentang kritikan terhadap pemain neutralisasi, Teong Kim membidas sikap pegawai FAM yang menyalahkan segelintir pemain atas persembahan buruk skuad Harimau Malaya di Piala AFF.
"Kenapa pengurus kutuk Guilherme de Paula Lucre seorang sahaja? Ini menunjukkan pegawai FAM tidak faham erti berpasukan.
"Dia cari sasaran yang paling senang iaitu pemain import. Kenapa ini terjadi? Ini sebab pilih kasih. Ini adalah masalah bagi semua sukan di Malaysia," katanya.
Teong Kim berkata, semasa beliau mengendalikan AMD, segala keputusan dibincang dahulu dengan orang tertentu tetapi keputusan akhir terletak di tangannya.
"Ada juga orang yang cuba campur tangan, tetap saya tegur orang yang cuba campur tangan itu.
"Bukan saya tidak melalui perkara-perkara itu tetapi saya tidak biarkan begitu, dan tegurnya supaya jangan campur tangan.
"Di Malaysia, ada orang yang tiada kena mengena dengan bola sepak mahu buat keputusan.
"Jadi nasihat saya kepada jurulatih. Tolong jaga maruah anda dan hormati profesion anda sebagai jurulatih.
"Kenapa perlu dengar cakap orang-orang luar? Ini tidak patut berlaku kerana mereka yang sepatutnya dengar cakap kamu sebelum buat sebarang keputusan.
"Jika tidak, akhirnya jurulatih yang kena ambil tanggungjawab, bukannya pengurus atau presiden.
"Jadi nasihat saya kepada orang yang suka campur tangan, sama ada di kelab atau skuad negara. Baik jadi jurulatih jika mahu campur tangan.
"Masa itu baru kamu tahu betapa susahnya jadi sebagai jurulatih," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram