Sebab Man United mampu cabar EPL sebelum Mac


  • Podium
  • Isnin, 13 Dis 2021

UNITED kini mengalami transformasi di bawah tunjuk ajar Rangnick. — Reuters

ERA baharu Manchester United di bawah pengurusan Ralf Rangnick bermula cemerlang dengan dua kemenangan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Gol minit ke-77 daripada Fred memberi kemenangan tipis 1-0 kepada United pada minggu lalu ketika menentang Crystal Palace.

Kemudian, kemenangan 1-0 ke atas Norwich City pada Sabtu lalu juga mengekalkan rekod tanpa kalah Rangnick dalam saingan liga.

Dengan dua kemenangan itu, pastinya memberi suntikan moral kepada skuad Red Devils yang memulakan kempen 2021 dengan hambar di bawah pimpinan Ole Gunnar Solskjaer yang dipecat pada awal bulan ini.

Kini harapan United untuk kembali mencabar kejuaraan seolah-olah hidup semula dengan tunjuk ajar Rangnick.

Jika dilihat pada jadual United, Rangnick berpeluang untuk merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Manchester City yang kini selesa mengumpul 38 mata.

United pula berada di kedudukan kelima, dibezakan 11 mata daripada City tetapi jurang itu mampu dirapatkan dalam tempoh tiga bulan.

Sehingga hujung tahun ini, United akan menentang Brentford, Brighton, Newcastle dan Burnley dalam aksi jadual padat digelar Boxing Day.

Berdasarkan analisis, Rangnick dijangka meraih 12 mata daripada tiga perlawanan tersebut yang melibatkan pasukan pertengahan dan bawahan liga.

Pada awal tahun depan, United akan berdepan tiga lagi perlawanan yang lebih sukar iaitu Wolves, Aston Villa dan West Ham.

Perlawanan menentang West Ham antara paling getir memandangkan kedudukan kelab London itu yang mendahului United dengan satu mata untuk berada di tempat keempat liga.

Pada Februari, United akan menentang empat pasukan pertengahan dan bawahan iaitu Burnley, Southampton, Leeds United dan Watford.

Jadi berdasarkan 11 perlawanan tersebut sehingga hujung Februari, Rangnick berpeluang meraih mata maksimum, sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu.

United tidak akan bertembung dengan enam kelab gergasi sehingga Mac dan perlawanan paling getir adalah pada 5 Mac untuk menentang Manchester City.

Jika bernasib baik, empat kelab yang berada di tangga teratas mungkin keciciran mata dalam tempoh tersebut.

Liverpool akan kehilangan Mohamed Salah dan Sadio Mane untuk Piala Afrika pada Januari, manakala Chelsea juga mengalami masalah prestasi sejak kebelakangan ini.

Tiada jaminan Rangnick mampu melakar kejuaraan EPL pada musim ini tetapi sekurang-kurangnya dia berpeluang untuk menempatkan United dalam kelompok empat pasukan terbaik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Manchester United, Ralf Rangnick, EPL