JODOH pemain sayap lincah, Sean Eugene Selvaraj sah terlerai bersama Selangor apabila dikhabarkan menjadi buruan beberapa kelab utama musim depan.
Pemain yang sinonim dengan jersi no.7 skuad The Red Giant itu kini dilaporkan berada dalam radar Perak FC, selain turut disebut-sebut kembali bersatu bersama bekas jurulatih Selangor, B Sathianathan yang kini memegang jawatan sebagai Pengarah Teknikal Sarawak United.
Pada masa sama, Sean juga dikhabarkan bersedia untuk kembali semula ke pangkuan kelab asalnya, Negeri Sembilan FC yang dinaikkan pangkat ke Liga Super musim depan.
SEAN yang mesra dengan panggilan Seanaldo sah meninggalkan Selangor musim depan. — Instagram/@seanselvaraj
"Saya bertuah dapat mewakili kelab yang besar seperti Selangor, ia satu penghormatan dapat berbakti selama empat tahun yang menakjubkan.
"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak. Memang sukar untuk mengucapkan selamat tinggal namun apakan daya perjalanan saya terhenti di sini.
"Ini masanya untuk saya berhijrah dan mengejar impian saya sebagai pemain bola sepak. Terima kasih Selangor," ujar Sean.
Antara kelab-kelab tersebut, Perak FC dikatakan berada dalam senarai teratas bagi mendapatkan khidmat Sean musim depan.
Namun, tidak mustahil Sean memilih untuk bersama Sarawak United kerana sering mendapat kepercayaan Sathianathan beraksi dalam kesebelasan utama Selangor sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram