Tiga bintang MU dalam radar Kelantan FC


  • Podium
  • Sabtu, 11 Dis 2021

PENJAGA gol Melaka United, Solehin Mamat antara nama yang sedang diintai Kelantan FC. — Bernama

PASUKAN Liga Premier, Kelantan FC dikatakan sedang bekerja keras membawa masuk beberapa pemain bagi memperkuat pasukan untuk kembali ke saingan Liga Super.

Kelab Pantai Timur itu kini dilaporkan sedang mengintai tiga pemain pasukan Liga Super, Melaka United bagi menghadapi saingan musim 2022.

Menurut sumber, tiga nama tersebut ialah penjaga gol, Solehin Mamat dan dua pemain tengah, Jasmir Mehat dan Shyamierul Razmee.

Solehin dilaporkan mahu mencari angin baharu selepas berada di belakang Khairul Fahmi dan Norazlan Razali bagi posisi penjaga gol utama pasukan Melaka United.

Begitu juga dengan Shyamierul yang langsung tidak diturunkan pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan pada musim ini.

Jasmir pula hanya beraksi dalam tujuh perlawanan liga musim ini dengan enam daripadanya adalah daripada bangku simpanan.

Difahamkan, rundingan sedang dijalankan dengan ketiga-tiga pemain tersebut untuk membawa mereka ke Stadium Sultan Muhammad IV.

Namun, pihak pengurusan Kelantan FC masih belum mendedahkan butiran rasmi perbincangan itu kepada umum. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram