PEMAIN sayap Vietnam, Nguyen Quang Hai menjadi perhatian para peminat bola sepak tempatan apabila merobek gawang skuad Harimau Malaya pada minit ke-32 sewaktu pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Kumpulan B Piala AFF pada Ahad.
Quang Hai yang menerima umpanan Nguyen Tuan Anh dari sebelah kiri, mudah merembat masuk ke penjuru gawang Malaysia yang dikawal oleh Khairul Fahmi Che Mat.
Meskipun baru berusia 24 tahun, namun Quang Hai memiliki pengalaman luas dalam bola sepak antarabangsa dan pernah menjulang pelbagai trofi.
Pemain yang beraksi bersama Hanoi FC itu melakukan 132 penampilan sejak 2015 dan menjaringkan 32 gol dalam tempoh berkenaan.
Bersama Hanoi FC, Quang Hai menjulang tiga trofi kejuaraan Liga Vietnam, dua trofi Piala Super dan dua trofi Piala Nasional.
Di peringkat antarabangsa, Quang Hai melakukan 36 penampilan bersama skuad Vietnam dan menjaringkan sembilan gol bersama Naga Emas.
Quang Hai juga membantu Vietnam menjuarai Piala AFF pada 2018 dan Sukan SEA 2019.
Selain itu, Quang Hai pernah diberi gelaran Paulo Dybala Asia kerana kemahirannya yang mirip dengan pemain Argentina tersebut.
Quang Hai gemar melakukan rembatan dari luar kotak penalti serta memiliki skil menggelecek yang baik.
Pernah meraih trofi peribadi sebagai Pemain Paling Bernilai Piala AFF 2018, tentunya banyak pasukan mengintai untuk mendapatkan khidmatnya sekiranya dia mengulangi prestasi sama seperti kejohanan lalu.
QUANG Hai gemar melakukan rembatan dari luar kotak penalti. — Gambar hiasan/Agensi
Beberapa pasukan Liga Super seperti Terengganu FC, Penang FC, Sri Pahang, Sarawak United dan Negeri Sembilan FC dikhabarkan sedang berkira-kira untuk merisik Quang Hai bagi mengisi kuota pemain ASEAN dalam skuad mereka musim depan.
Berbekalkan usianya yang muda dan pengalaman luas dalam bola sepak, tidak rugi bagi pasukan-pasukan tempatan mendapatkan khidmatnya.
Dengan aksinya menentang skuad Harimau Malaya pada Ahad, pastinya tidak sukar untuk Quang Hai menyesuaikan diri dengan corak permainan di Malaysia walaupun dia memiliki tubuh kecil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram