Kim Swee makin rakus, buru duo Sarawak United


  • Podium
  • Isnin, 13 Dis 2021

TOMMY Mawat (kanan) antara pemain yang mahu dibawa Kim Swee ke Sabah FC. — Bernama

SETELAH melakukan rombakan besar-besaran dengan membawa masuk ramai pemain, pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee dilihat masih belum cukup berpuas hati dengan barisan skuadnya bagi menghadapi saingan musim hadapan.

Pada jendela perpindahan kali ini, pengurus berusia 51 tahun itu sudah mengikat sejumlah pemain antaranya Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Dominic Tan, Stuart Wilkin, Azhad Harraz, Damien Lim, Badrul Affendy, Dirga Surdi dan Irfan Fazail.

Menurut sumber, beliau kini sedang mengintai duo Sarawak United, Tommy Mawat dan juga Khair Jones bagi memperkuat bahagian kiri Sang Badak.

Perbincangan mengenai kontrak masih dijalankan dengan kedua-dua pemain itu dan mereka juga difahamkan bersedia untuk meninggalkan bumi kenyalang.

Khair, yang pernah mewakili Harimau Malaya sebanyak empat kali, menjadi pilihan Kim Swee untuk mengisi bahagian pertahanan kiri Sabah FC selepas terlepas pemain Johor Darul Ta'zim II, Syazwan Andik kepada Melaka United.

Tommy pula dilihat boleh memberi kelebihan kepada jurulatih tersebut kerana boleh diletakkan di bahagian pertahanan dan juga sayap kiri.

Kebolehan pemain berusia 26 tahun itu juga pastinya tidak asing bagi Kim Swee kerana beliau pernah memanggilnya dalam barisan 23 pemain ke Piala Asia 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram