Dua import idaman skuad Harimau Kumbang musim 2022


  • Podium
  • Ahad, 12 Dis 2021

PENANG FC menduduki tangga ketiga Liga Super musim lalu. — Facebook Penang FC

SELEPAS mempamerkan prestasi memberangsangkan pada saingan Liga Malaysia musim ini apabila menduduki tangga ketiga Liga Super, Penang FC pastinya mahu terus memberikan cabaran pada musim depan.

Meskipun beberapa pemainnya berpindah ke kelab lain, Penang FC turut dikhabarkan berminat mendapatkan beberapa pemain baharu bagi memperkukuhkan skuad mereka pada kancah aksi 2022.

Difahamkan, mereka yang berada dalam radar skuad Harimau Kumbang adalah pemain tengah, Syamim Baharuddin; pemain sayap, Adip Raop, pertahanan kiri; Rafiuddin Roddin; serta penjaga gol, Hafizul Hakim.

Selain itu, skuad Harimau Kumbang juga bakal diperkuat dengan kehadiran dua pemain dari seteru utara, Kedah Darul Aman (KDA) FC iaitu Faizat Ghazli dan Fairuz Zakaria.

Pada masa sama, Penang FC masih memiliki dua kuota import untuk diisi selain Casagrande, Endrick dan Rafael Vitor.

Musim lalu, Penang FC menjaringkan 37 gol dan melepaskan 30 gol dalam saingan Liga Super.

Statistik itu menunjukkan skuad Harimau Kumbang dilihat memerlukan seorang penyerang dan bek tengah baharu bagi memastikan Penang FC mampu bersaing dengan pasukan seperti Johor Darul Takzim (JDT).

Gandingan Rafael Vitor dan Abdul Latiff Suhaimi di posisi bek tengah masih belum terbukti kebal selain Penang FC tidak boleh bergantung kepada Casagrande sahaja untuk menembusi gawang pasukan lain musim depan.

Antara pemain yang dikhabarkan menjadi buruan Penang FC adalah tonggak pertahanan kelab Thailand, BG Pathum United iaitu Victor Cardozo.

Selain memiliki pengalaman luas beraksi di Liga Juara-Juara Asia (AFC), Cardozo juga tersenarai dalam kesebelasan utama terbaik liga Thailand musim lepas.

Berketinggian 1.94 meter merupakan satu kelebihan buat Cardozo terutamanya dari segi perebutan bola di udara.



CARDOZO memiliki pengalaman beraksi dalam AFC. — Agensi

Pemain kelahiran Brazil itu juga bijak membaca pergerakan pihak lawan dan mempunyai kemahiran menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, satu kelebihan yang jarang dimiliki oleh seorang pemain bek tengah yang harus segera disambar Penang FC.

Seorang lagi pemain import yang dilihat cukup sesuai menjadi idaman peminat Penang FC adalah penyerang Hougang United, Tomoyuki Doi.

Penjaring terbanyak Liga Perdana Singapura musim lepas itu sebelum ini dilaporkan semakin hampir menyertai Selangor FC namun rundingan berkenaan gagal.

Tomiyuki Doi

DOI meraih pemain terbaik Liga Perdana Singapura 2021. — Agensi

Penang FC tentunya mahu menambahkan sengat di bahagian serangan dan Doi merupakan calon yang sesuai.

Doi seorang pemain yang bijak menghidu peluang di hadapan gol dan memiliki larian pantas.

Musim lalu, Doi menjaringkan 19 gol dalam 21 penampilan liga serta merekodkan lima bantuan hantaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram