Duo Korea-Jerman pelengkap skuad Helang Merah


  • Podium
  • Ahad, 12 Dis 2021

BUSCHENING hanya beraksi buat UiTM sebanyak lima kali musim ini. — Agensi

SELEPAS membawa masuk sejumlah muka baharu ke dalam pasukan, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dikhabarkan bakal melengkapkan kuota import dan ASEAN untuk musim depan.

Terdahulu, KDA FC membawa masuk Muhamad Azmeer Aris Nor Rashid, Mohammad Amer Azahar, Muhammad Al-Hafiz Harun, Muhammad Khairu Azrin Khazali, Amirul Azhan Aznan dan Dechi Marcel.

Bagaimanapun, KDA FC turut melepaskan empat pemain importnya iaitu Kpah Sherman, Renan Alves, Rabih Ataya dan Anumanthan Kumar.

Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh kesemua pemain berkenaan, KDA FC semakin hampir mendapatkan khidmat Dennis Buschening dan Jang Suk-won.

Screenshot 2021-12-12 111325

SPEKULASI yang mengaitkan perpindahan kedua-dua pemain tersebut. — Twitter

Kedua-dua pemain tersebut juga tidak asing dalam kancah Liga Malaysia.

Buschening bermain untuk Sabah FC pada tahun lalu sebelum ditamatkan kontrak tahun ini. Di Sabah, dia hanya bermain tujuh perlawanan dan gagal memberikan aksi terbaik dan tidak menjadi pilihan kesebelasan utama.

Pemain berdarah kacukan Thailand-Jerman itu kemudiannya bermain untuk UiTM FC pada musim ini namun hanya bermain lima perlawanan Liga Super sahaja.

Buschening bukan sahaja mampu bermain sebagai penyerang tengah tetapi juga pemain tengah menyerang.

Pemain berkenaan memiliki hantaran yang baik serta memiliki fizikal dan penguasaan bola yang bagus.

Dia akan bergandingan dengan seorang lagi penyerang import KDA FC, Kipré Tchétché bagi memperkukuhkan bahagian serangan.

Bagi para peminat Melaka United, Jang Suk-won bukan suatu nama asing bagi mereka kerana pemain berusia 32 tahun itu sudah beraksi bersama kelab itu sejak 2019.

Suk-won beraksi sebanyak 41 kali dalam saingan Liga Super bersama Melaka United.

Screenshot 2021-12-12 110711

SUK-WON beraksi bersama Melaka United sejak 2019. — Agensi

Musim ini, Suk-won banyak membentuk gandingan bersama Mohamad Faris Shah Mohd Rosli sehingga menjadi antara watak penting dalam kemaraan Melaka United ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Pemain itu bijak membaca hantaran pihak lawan dan sering memintas hantaran yang dilakukan ke kubu pertahanan pasukan.

Dia bakal bergandingan dengan Muhammad Syazwan Tajudin dalam kesebelasan utama KDA FC musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram