IBRAHIMA Konate mengakui tiada masalah dengan minit permainannya sepanjang menerima tunjuk ajar Jurgen Klopp setakat ini dan percaya dirinya mempunyai apa yang diperlukan untuk berjaya di Liverpool.
Konate adalah satu-satunya pemain utama yang ditandatangani Liverpool pada musim panas ini dan menyertai The Reds dalam perjanjian £36 juta (RM202.6 juta) dari RB Leipzig.
Pemain antarabangsa Perancis bawah 21 tahun itu membuat penampilan sulung The Reds pada September ketika dia membantu pasukannya mengekalkan rekod bersih dalam kemenangan 3-0 ke atas Crystal Palace di Anfield.
Namun sejak itu, Konate hanya membuat tiga lagi penampilan untuk pasukan Klopp termasuk dengan keputusan seri 2-2 dengan Brighton pada akhir bulan lalu.
Tetapi di sebalik kekurangan minit permainannya, Konate mengakui tidak mempunyai masalah dengan bosnya dan yakin dia boleh mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukannya pada masa akan datang.
"Apabila tiba di kelab seperti itu, sudah tentu timbul sedikit kebimbangan. Tetapi jika ada kelab bersedia untuk meletakkan kepercayaan sedemikian dan pengurus bercakap dengan anda, ia bermakna dia mahukan anda.
“Saya rasa Jurgen Klopp adalah salah seorang pengurus terbaik di dunia. Kami banyak bercakap melalui telefon dan bertanya soalan peribadi kepadanya, begitu juga dengan dia.
“Apa yang saya rasakan sebenarnya adalah satu amanah dan rasa kelab ini benar-benar berbeza daripada yang lain.
"Saya merasai diri pernah berada di sini sebelum menandatangani konrak, jadi semua ini adalah sebab mengapa saya mengambil keputusan untuk datang ke kelab ini.
"Saya akan melakukan segala-galanya untuk mendapatkan tempat sama ada jangka pendek atau jangka panjang," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram