Solskjaer kemas beg balik kampung, pemain Man United terkejut dapat cuti seminggu


  • Podium
  • Selasa, 09 Nov 2021

SOLSKJAER dilaporkan pulang bersama keluarganya ke kampung halaman di di Kristiansund, Norway dan hanya akan kembali ke Carrington, Manchester minggu depan. — Agensi

PEMAIN dan kakitangan Manchester United terkejut diberi cuti seminggu selepas kekalahan di tangan jiran tetangga, Manchester City 0-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.

Menurut laporan, mereka diberi cuti setelah pengurus, Ole Gunnar Solskjaer terbang pulang ke Norway bersama keluarganya pada Selasa.

Dengan sebahagian besar skuad United mempunyai tugas di peringkat antarabangsa, Solskjaer memutuskan untuk memberi rehat kepada pemain lain dan stafnya daripada meminta mereka menyertai latihan di Carrington.

Tindakan itu dikatakan adalah sesuatu di luar jangkaan memandangkan krisis di Old Trafford ketika ini.

Pemain pertahanan, Raphael Varane tiba di ibu pejabat kelab pada Selasa untuk rawatan kecederaan hamstringnya dan Marcus Rashford juga dijangka menjalani latihan selepas menarik diri daripada skuad England, tetapi Solskjaer dan pemain lain tidak hadir ke ibu pejabat kelab sejak tewas 0-2 kepada Manchester City pada Sabtu.

Pengurus berbangsa Norway itu dilihat berada di lapangan terbang Manchester bersama isterinya, Silje dan anak lelaki mereka, Noah dan Elijah sebelum menaiki jet peribadi ke kampung halamannya di Kristiansund.

Solskjaer telah berdepan kritikan kerana tewas enam daripada 12 perlawanan terakhir, termasuk kekalahan memalukan di laman menentang City dan Liverpool.

Tetapi, sumber kelab menyatakan bahawa posisi pengurus berusia 48 tahun itu setakat ini tidak terancam dan dia dijangka kekal di kerusinya untuk perlawanan EPL menentang Watford minggu depan.

Rashford secara rasmi menarik diri daripada tugasan antarabangsa kerana masih belum mencapai tahap kecergasan yang penuh sejak kembali dari pembedahan bahu dan dijangkiti selsema minggu lalu.

Man United juga menunggu maklumat terkini mengenai Paul Pogba selepas dia dilihat berjalan tempang ketika sesi latihan bersama Perancis akibat kecederaan paha. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram