'Liverpool lawan paling sukar Man City, tiada siapa boleh nafikan'


  • Podium
  • Ahad, 07 Nov 2021

GUARDIOLA (kanan) menyifatkan Liverpool sebagai lawan paling sukar Man City selama ini. — Agensi

PEP Guardiola mengakui Liverpool kekal sebagai 'lawan paling sukar' Manchester City selepas selesa menewaskan Manchester United 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.

Ia adalah satu lagi malam yang tidak mahu diingati anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford apabila turut dibelasah Liverpool 0-5 dalam aksi EPL musim ini.

Guardiola berkata, pasukannya tidak dapat melakukan apa yang dilakukan Liverpool di Old Trafford, namun Man City tetap mempamerkan persembahan sama hebat seperti mana yang dipamerkan The Reds terhadap Man United dua minggu lalu.

Membandingkan pendekatan berbeza Liverpool dan Man City selepas kemenangan derbi pada Sabtu, bos Etihad itu berkata: "Saya kagum terhadap Liverpool dan hasil kerja Jurgen Klopp. Mereka adalah lawan yang paling sukar. Namun, mereka berada dalam kelas tersendiri selepas bersama-sama selama enam atau tujuh tahun.

“Musim pertama mereka sedikit bergelut, tetapi mereka menyelesaikan masalah pasukan dan membeli pemain yang sesuai yang mereka perlukan.

"Liverpool memang bagus, tetapi kami bermain dengan cara yang berbeza kerana saya dari Sepanyol dan dia (Klopp) dari Jerman. Mungkin, mentaliti kami sebagai jurulatih adalah konsep yang berbeza.

"Kedua-dua Liverpool dan Man City menguasai EPL pada tahun-tahun lepas. Tidak kira di mana kami berada, tidak kira di mana kami bermain, kami pergi ke sana untuk melakukan cara permainan kami. Selepas kualiti, pemain melakukannya selebihnya.

"Liverpool bermain false nine dengan (Roberto) Firmino manakala kami ada Bernardo (Silva). Perbezaannya ialah pemain sayap yang mereka (Liverpool) bermain lebih di bahagian tengah dan pemain sayap kami bermain lebar di bahagian tepi. Tiada siapa boleh menafikan bahawa kedua-dua pasukan, tidak kira sama ada di England atau Eropah akan memberikan yang terbaik dalam setiap aksi.

"Hari ini (semalam) kami datang ke Old Trafford, kepada pesaing kami di bandar ini, dan kami berkata 'okay, kami akan datang ke sini dan lakukan permainan kami'. Permainan ini agak serupa dengan cara kami bermain pada musim sebelumnya: kami mengawal dan menunggu untuk aksi seterusnya yang akan berlaku di atas padang."

Liverpool akan berdepan West Ham di tempat lawan pada tengah malam ini (jam 12.30 malam waktu Malaysia). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram