BEKAS pertahanan Manchester United, Patrice Evra baru-baru ini membuka mulut mengenai insiden perkauman melibatkan Luis Suarez dan mengapa dia menahan diri daripada menyerang bekas pemain Liverpool itu.
Pada Oktober 2011, Suarez didapati bersalah oleh FA England kerana mengeluarkan kata-kata perkauman terhadap Evra dan digantung lapan perlawanan dan dikenakan denda £40,000 (RM225,000).
Beberapa bulan kemudian, pada Februari 2012, pemain Uruguay itu mencetuskan kontroversi apabila dia enggan berjabat tangan dengan Evra sebelum perlawanan di Old Trafford.
Bercakap tentang insiden itu ketika menjadi tetamu dalam The Diary of a CEO Podcast, Evra menceritakan saat ketika dia terserempak dengan Suarez di Manchester dan 'bersedia untuk menyerang', tetapi melupakan hasratnya itu selepas melihat isteri dan anak penyerang Liverpool itu.
"Suatu hari saya berjalan-jalan di Manchester di Deansgate dan abang saya berkata 'oh, itu Luis Suarez di sana'. Saya bersama dua orang abang saya.
"Saya memandangnya dan saya berfikir inilah masanya.
"Namun sebaik dia berjalan dan di belakangnya saya melihat anak-anak dan isterinya.
"Saya berpaling ke belakang. Saya berfikir jika saya melakukan sesuatu kepadanya saya tidak boleh melakukan ini di hadapan keluarganya.
"Jadi saya tidak menyesal kerana saya fikir ia akan berakhir dengan buruk. Saya tidak melakukan apa-apa pada hari itu," katanya.
Kedua-dua pemain itu bertemu semula pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2015 antara Juventus dan Barcelona, di mana mereka berjabat tangan dan Evra menjelaskan mengapa dia kini memaafkan Suarez.
"Saya sedang bercakap dengan Neymar, dia (Suarez) berjalan, dia datang dan berjabat tangan dengan saya. Dia berkata 'anda ok?'. Saya berkata 'Saya ok'.
"Jadi tidak ada dendam, tetapi apa yang pasti adalah kami tidak akan pergi bercuti bersama-sama.
"Saya tidak mempunyai sebarang kebencian. Saya tidak boleh menggelar Luis Suarez rasis kerana saya tidak mengenalinya cukup rapat untuk memanggilnya begitu, tetapi pada hari itu dia menggunakan beberapa perkataan yang bersifat perkauman.
"Ya (saya memaafkan Suarez). Ini adalah tentang pendidikan - tiada siapa yang dilahirkan sebagai seorang yang rasis," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram