Dua tonggak Liverpool dapat pujian melambung legenda Man United


  • Podium
  • Jumaat, 05 Nov 2021

KEDUA-DUA tonggak Liverpool ini mendapat pujian melambung legenda Man United. — Agensi

TRENT Alexander-Arnold dan Sadio Mane mendapat pujian daripada legenda Manchester United, Rio Ferdinand selepas Liverpool menang 2-0 ke atas Atletico Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara pada Khamis.

Bercakap selepas perlawanan dramatik itu, Fredinand menyamakan Trent Alexander-Arnold dengan legenda Liverpool, Steven Gerrard.

"Trent sememangnya mempunyai suatu kelebihan tentang dirinya terutama sekali dari segi kemahiran dan stamina.

“Dia seorang pemain bola sepak yang hebat. Ini mungkin disebabkan mereka beraksi di Anfield, jadi anda hampir menyamakan dia seperti Steven Gerrard,” katanya.

Alexander-Arnold dilahirkan di Liverpool seperti Gerrard dan disebut-sebut bakal menggalas lilitan kapten pada masa depan sama seperti idolanya.

Ketika ini, Gerrard cemerlang menjadi pengurus kelab Scotland, Rangers.

Pada masa sama, Ferdinand yang juga pundit BT Sport juga memuji pemain sayap Liverpool kelahiran Senegal, Sadio Mane.

“Mane boleh diibaratkan sebagai mimpi ngeri pertahanan lawan. Dia mempunyai segala kemahiran dan boleh mengatasi kekuatan pihak lawan.

"Gol (berdepan Atletico) adalah istimewa buat Mane, kerana dia mempunyai tipu helah dan kaki yang cepat.

“Sejujurnya saya tidak pasti sama ada itu rembatan atau hantaran silang. Tetapi kerana ia berpunca daripada Trent, sudah tentu ia juga satu reaksi hebat daripada Mane,” jelas Ferdinand. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram