BARCELONA dilaporkan berminat untuk mendapatkan pemain tengah Manchester United, Donny van de Beek pada Januari 2021.
Pemain 'buangan' bernilai GB£35 juta (RM198 juta) itu juga dikatakan terdesak mahu menamatkan mimpi buruknya di Old Trafford.
Ini kerana, Van de Beek hanya membuat empat kemunculan dalam Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer sejak tiba dari Ajax pada musim panas 2020.
Setibanya di Old Trafford, Van de Beek tidak mendapat tempat apabila sering diketepikan berbanding Fred, Paul Pogba, Scott McTominay dan Nemanja Matic.
Dia terdesak untuk berpindah ke kelab baharu dan Barcelona dilaporkan boleh menjadi destinasi seterusnya dengan gergasi Sepanyol itu bersungguh-sungguh mahu memperbaiki skuad mereka pada Januari.
The Catalan sememangnya berminat untuk menandatangani bekas pemain tengah Ajax itu tetapi memandangkan keadaan kewangan mereka yang teruk, mereka mungkin hanya boleh melakukan perjanjian pinjaman pada jendela Januari.
Barcelona terdesak untuk mengukuhkan barisan serangan dari bahagian tengah dan Van de Beek memegang rekod jaringan 41 gol dan menyumbang 34 bantuan dalam 175 penampilan semasa bersama Ajax.
Jika ke Barcelona, dia juga bakal bersatu semula dengan Frenkie de Jong.
Kedua-duanya mempamerkan kombinasi hebat di bahagian tengah semasa kejayaan Ajax ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada 2019.
Dalam pada itu, rakan sepasukan Van de Beek di Man United menasihatkannya untuk menukar ejen dalam usaha untuk keluar dari Old Trafford.
Van de Beek sebelum ini berharap bekas ejen Guido Albers akan memastikan dia berpindah dari kelab itu, namun segala-galanya tidak seperti dirancang.
Justeru, sumber memberitahu bahawa pemain antarabangsa Belanda itu telah dipujuk untuk mengambil ejen baharu.
Pemain berusia 24 tahun itu kini telah mendaftar dengan Ali Dursun, ejen yang menjaga pertahanan United, Victor Lindelof, serta rakan sepasukan Belanda, De Jong.
Selain Barcelona, terdapat juga beberapa kelab lain yang berminat terhadap Van de Beek dan memerhatikan perkembangannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram