HERO Manchester United, Bryan Robson memuji taktikal baharu Ole Gunnar Solskjaer yang menyaksikan kebangkitan Red Devils menewaskan Tottenham Hotspur 3-0 pada Sabtu lalu.
Pengurus kelahiran Norway itu menukar sistem permainan dengan menggunakan tiga pemain pertahanan tengah dan dua bek sayap.
Taktikal ini menyaksikan United membentuk benteng pertahanan yang ampuh, sekali gus dapat membantu jentera serangan dengan lebih baik.
Manakan tidak. Sepanjang musim 2021/2022, United hanya sekali menang tanpa bolos ketika menentang Wolves pada akhir Ogos lalu.
Sembilan lagi perlawanan menyaksikan United bolos dan taktikal terbaru Solskjaer ternyata berkesan apabila pasukannya tidak melepaskan sebarang gol ketika menentang Spurs.
Taktikal yang digunakan Ole ketika menentang Spurs mungkin digunapakai untuk berkunjung ke Atalanta.
Solskjaer juga berani mempertaruhan jentera serangan dikemudi 'kuda tua' iaitu Edinson Cavani dan Cristiano Ronaldo buat pertama kalinya.
Kesannya, dua pemain veteran itu berjaya mencetak gol-gol menarik.
Pemain gantian, Marcus Rashford juga meletakkan nama sebagai penjaring pada lewat perlawanan.
Robson ternyata tertarik dengan corak permainan yang bertambah baik selepas United dimalukan di Old Trafford pada minggu lepas dengan kekalahan 0-5 kepada musuh tradisi, Liverpool.
Malah Robson berharap Solskjaer akan menggunakan taktikal yang sama menentang Alalanta pada awal pagi Rabu dalam saingan Liga Juara-Juara.
Dalam temu bual eksklusif bersama Manutd.com, Robson menyuarakan pandangnya terhadap perkembangan United.
Sepenting mana keputusan menentang Spurs?
Robson: Amat penting. United nampak lebih tersusun, berdisplin dan susunan pemain. Ia seperti yang diharapkan penyokong. Saya fikir corak serangan balas United juga baik, tetapi yang penting pasukan ini nampak lebih meyakinkan.
Anda sukakan tiga atau lima pemain pertahanan?
Robson: Saya sukakannya (tiga pemain tengah dan dua bek sayap). Saya fikir corak ini sesuai dengan kebanyakan pemain dalam skuad. Tetapi apa yang lebih penting, skuad ini tampak lebih stabil dan bergerak sebagai satu pasukan.
Kita tahu skuad ini ada pemain yang sentiasa menjaringkan gol ketika serangan balas dan saya fikir taktikal ini menjadi.
Kita ada dua pemain hebat di depan, Cristiano dan Edinson, yang kelihatan ada keserasian.
Adakah United akan berdepan kesukaran menentang Atalanta?
Robson: Saya fikir Solskjaer akan menggunakan taktikal sama dengan skuad yang sama. Jika saya, perkara yang sama akan dilakukan iaitu kekalkan taktikal.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram