KURANG daripada 24 jam, kita semua akan masuk ke tahun 2026. Bagi mereka yang ingin menyambut ketibaan baharu itu, dengan penuh meriah, Lembah Klang merupakan destinasi pilihan menjelang tengah malam ini.
Daripada konsert dan bazar kebudayaan hinggalah ke pertunjukan bunga api yang memukau, Kuala Lumpur dan Selangor bakal bertukar menjadi hab sambutan berskala besar.
Dengan kerjasama Tourism Malaysia, Pavilion Group menganjurkan siri program bagi mengalu-alukan pengunjung ke Kuala Lumpur serta mempromosikan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).
BACA LAGI: Kanak-kanak dibiar kesunyian berisiko alami demensia ketika dewasa

Pertunjukan bunga api yang menakjubkan pada sambutan Tahun Baru tahun lalu di KLCC, Kuala Lumpur.
Di Pavilion Bukit Jalil, sebuah bazar bertemakan VM2026 berlangsung sehingga hari ini, menampilkan pelbagai juadah jalanan, barangan kraf tangan serta persembahan kebudayaan.
Mereka yang mencari suasana lebih meriah boleh menuju ke VM2026 Arts and Culture Showcase di Fahrenheit 88, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, malam ini.
Persembahan dan pelbagai aktiviti diadakan dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. Kesemua acara ini akan memuncak dengan acara kira detik (countdown) besar-besaran di seberang jalan di Pavilion Kuala Lumpur.
Di LaLaport Bukit Bintang City Centre pula, acara kira detik akan diadakan di Central Rooftop Garden di Aras 4.
Bermula pukul 4 petang, acara ini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik termasuk bazar makanan, papan ucapan, lukisan badan neon, bengkel balang glitter dan gerai foto, selain persembahan tarian singa yang meriah.
Pengunjung juga boleh mendapatkan glow stick percuma untuk memeriahkan suasana malam.
Menambahkan lagi kemeriahan, The Exchange TRX akan dihidupkan dengan persembahan sorotan muzik dari pukul 8 malam hingga 11.30 malam, disertai skrin ucapan digital bermula pukul 5 petang.
Tepat tengah malam, pertunjukan bunga api akan menerangi langit bandar, dengan Raintree Plaza dan TRX City Park, dijangka menjadi lokasi terbaik untuk menyaksikannya.
Di Cheras, Sunway Velocity Mall menjemput pengunjung menyambut tahun baharu malam ini dengan konsert percuma serta pertunjukan bunga api tengah malam yang menakjubkan.
Bagi menambah kemeriahan, pusat beli-belah itu turut mengadakan cabutan bertuah.
Pembeli layak menyertai dengan melengkapkan tinjauan melalui aplikasi Sunway Malls dan memuat naik resit perbelanjaan minimum RM300 di mana-mana outlet makanan dan minuman (F&B) di pusat beli-belah tersebut.
Kod QR akan dikeluarkan untuk peserta cabutan bertuah diimbas di kaunter concierge.
Hyatt Regency Kuala Lumpur di KL Midtown pula akan memeriahkan panorama bandar dengan pertunjukan bunga api untuk tetamu yang menginap di bilik dan suite menghadap bandar.
Hotel tersebut juga menawarkan bufet makan tengah hari, brunch dan makan malam hari ini dan esok. Untuk maklumat lanjut mengenai harga dan tempahan, hubungi 03-3093 1234.
Satu lagi acara tumpuan ialah “Rhythm of KLCC” di Taman KLCC, yang dijadualkan bermula pukul 6.30 petang hari ini.
Persembahan bertabur bintang ini akan menampilkan Datuk Zainal Abidin, Joe Flizzow, Misha Omar, Dennis Lau, Hafiz Suip dan Nikki Palikat, menjanjikan penutup tahun yang penuh bertenaga.
Di Putrajaya pula, IOI City Mall telah menyenaraikan barisan selebriti untuk konsert “Kita 2026” yang akan bermula pada pukul 10 malam.
Antara artis yang dijadual membuat penampilan ialah Datuk David Arumugam, Ella, Faizal Tahir dan Nabil Ahmad.
Sementara itu, pusat beli-belah Sunway Pyramid di Selangor menyambut kedatangan 2026 dengan penganjuran Common Market yang akan berlangsung sehingga pukul 1 pagi pada Hari Tahun Baharu.
Terletak di pintu masuk LG2 Blue Entrance, pasar tersebut menampilkan gerai-gerai yang menawarkan pelbagai juadah dan cenderamata pada harga diskaun.
Pasar tersebut akan diteruskan keesokan harinya dari pukul 5 petang hingga 10 malam, serta sepanjang hujung minggu (3 dan 4 Jan) dari jam 12 tengah hari hingga 10 malam.
Prasarana Malaysia Bhd, memaklumkan bahawa waktu operasi tren dan bas akan dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi Jumaat.
Menurutnya, lanjutan operasi ini melibatkan 20 stesen tren, 21 laluan bas dan tujuh stesen BRT Laluan Sunway.
Pengguna dinasihatkan untuk menggunakan aplikasi MyRapid Pulse bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai stesen dan laluan yang terlibat.
Akhir kata, Selamat Tahun Baharu. Semoga 2026 menjadi tahun yang lebih cemerlang dan gemilang. — The Star/FARID WAHAB
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
