MENGHAKIMI individu yang menghidap insomnia adalah tidak wajar kerana keadaan tersebut amat sukar dan hanya yang pernah menghadapinya saja tahu sakitnya tidak dapat tidur pada waktunya.
Bagi mereka yang menghidap penyakit tersebut di tahap kronik pasti banyak kaedah perubatan yang dicari.
Namun pernahkah anda tahu senaman taici adalah salah satu cara mengatasi masalah tersebut? Kajian menunjukkan bahawa taici boleh memberi manfaat kepada individu yang mengalami insomnia kronik.
BACA LAGI: Rakyat Malaysia wajar contohi wanita ini amal '10R', jadikan kemampanan satu gaya hidup

Jika anda seorang dewasa yang lebih tua menghadapi masalah tidur, cuba amalkan taici untuk tidur lebih lena.
Penyelidikan yang diketuai oleh pakar akademik dari Hong Kong, menyatakan bahawa kajian mereka dalam terbitan jurnal perubatan The BMJ, menyokong amalan taici sebagai pendekatan alternatif.
Ia untuk pengurusan jangka panjang insomnia kronik dalam kalangan dewasa pertengahan umur dan warga emas.
Panduan untuk doktor merawat pesakit insomnia biasanya merangkumi pengurusan isu seperti kebimbangan, penggunaan ubat tidur jangka pendek, serta terapi tingkah laku kognitif (CBT) untuk kes yang lebih teruk.
Dalam kajian terbaharu, 200 peserta Cina berumur 50 tahun ke atas dengan insomnia kronik, dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan melakukan taici manakala kumpulan lain menerima CBT.
Semua peserta bebas daripada penyakit kronik lain yang boleh menjejaskan tidur, tidak mengambil bahagian dalam senaman aerobik atau minda-tubuh secara tetap, belum pernah menerima rawatan CBT, dan tidak bekerja secara syif.
Mereka menjalani sesi selama satu jam, dua kali seminggu, selama 24 sesi sama ada untuk taici atau CBT.

Panduan untuk doktor merawat pesakit insomnia biasanya merangkumi pengurusan isu seperti kebimbangan, penggunaan ubat tidur jangka pendek, serta terapi tingkah laku kognitif (CBT).
Peserta menilai simptom mereka seperti kesukaran untuk tidur dan mengekalkan tidur, terjaga terlalu awal dan tidak dapat kembali tidur, serta kesan insomnia terhadap kehidupan harian.
Selepas tempoh tiga bulan, kumpulan CBT mencatatkan skor yang lebih baik dalam peningkatan insomnia berbanding mereka yang melakukan taici.
Namun, dalam jangka masa panjang iaitu 15 bulan selepas kajian bermula, taici dilihat menyamai CBT malah sedikit mengatasi keberkesanannya.
Taici dan CBT juga didapati memberikan manfaat yang setara dalam aspek seperti kualiti hidup, kesihatan mental, dan tahap aktiviti fizikal.
Pengarang kajian, yang turut melibatkan penyelidik dari Amerika Syarikat dan Switzerland, mengakui bahawa sesetengah peserta mungkin terus melakukan taici selepas tempoh tiga bulan, mungkin telah menjejaskan keputusan kajian.
Namun, mereka menyatakan penemuan tersebut mencadangkan bahawa taici boleh memberikan perbezaan ketara dalam menyelesaikan masalah insomnia selepas intervensi tiga bulan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
