PEMINAT drama Korea dikejutkan dengan kemunculan dialog bahasa Melayu dalam siri popular Taxi Driver 3, khususnya dalam episod keempat yang kini tular di media sosial.
Lebih menarik, dialog tersebut dituturkan oleh seorang pelakon kelahiran Malaysia yang difahamkan kini sedang membina kerjaya lakonan secara profesional di Korea Selatan.
Dalam babak yang berlangsung di sebuah bengkel kereta, kedengaran barisan dialog dalam bahasa Melayu yang mencuit perhatian penonton 'Woi, woi b*****. Woi phone aku b****. S*** kau nak pergi mana'.
BACA LAGI: Suria FM kini berwajah baharu, ‘Muzik & Jiwa’ jadi taruhan
Dialog itu muncul dalam adegan yang dibintangi aktor terkenal Korea, Lee Je-hoon, sekali gus mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat Malaysia yang teruja melihat bahasa tempatan diselitkan dalam produksi Korea.
Identiti pelakon yang menuturkan dialog tersebut kemudian didedahkan oleh pengguna Threads, @hhighqal, yang mengesahkan dirinya aktor yang terlibat dalam produksi berkenaan.
"Terima kasih to all the supports. Saya akan cuba sedaya upaya untuk bekerja lebih keras dan membuat Malaysia terkenal dalam bidang drama Korea," tulisnya menerusi platform Threads.
Dalam perkongsian lanjut, pelakon itu menjelaskan bahawa dia merupakan rakyat Malaysia berasal dari Semenyih, Selangor dan telah menetap di Korea Selatan sejak tujuh tahun lalu.
"Hi Assalamualaikum semua. Saya berasal dari Semenyih, Malaysia dan dah duduk di Korea selama tujuh tahun. Saya dulu study di Konkuk University dalam bidang Films and Acting dan selepas graduate, saya memang terus sambung kerjaya sebagai pelakon di Korea," katanya.
Dia turut berkongsi pencapaian lain sepanjang berada di sana dan antaranya termasuk penampilannya dalam drama A Shop For Killers musim pertama, selain turut berperanan dalam filem Korea bertajuk Hideaway yang baru ditayangkan pada 19 November lalu.
Selain itu, pelakon berkenaan juga memberitahu pembabitannya dalam beberapa teater dan filem bebas sebagai watak utama.
"InshaaALLAH kalau ada rezeki, saya dan director filem saya akan cuba untuk publish filem kami di festival filem Malaysia tahun depan. Dan ada satu lagi drama Netflix yang saya berlakon. Saya sangat looking forward, drama ni akan keluar tahun depan.
"Sekali lagi terima kasih sangat-sangat for all the supports dan doa yang diberikan. Saya akan bekerja lebih keras untuk menjadi pelakon yang lebih baik dan membanggakan nama Malaysia," katanya.
Kemunculan dialog bahasa Melayu dalam Taxi Driver 3 bukan sahaja mencuri tumpuan, malah membuka mata peminat tanah air bahawa bakat Malaysia kini semakin mendapat tempat dalam industri hiburan Korea Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
