Sut kembali popular, tip 'simple' untuk tampak moden, santai


  • Gaya
  • Sabtu, 29 Nov 2025

(Dari kiri) Mira Filzah, Eyka Farhana dan Elfira Loy antara selebriti Malaysia yang sering tampil bergaya dengan blazer dan suit. — Instagram selebriti

PERNAH terfikir sut kembali menjadi trend? Sebenarnya, ia memang sedang menjadi popular semula.

Sebenarnya, sut tidak pernah hilang, cuma pemakaiannya semakin jarang dijadikan kewajipan.

Di pejabat misalnya, casual Friday kini jadi norma harian kecuali di Washington, DC, yang masih setia dengan sut klasik.

BACA LAGI: 'Gamat macam di stadium', 164 murid raih Mumtaz, penutup terindah buat guru besar bakal bersara

BACA LAGI: 'Betul-betul dia pimpin jadi Muslimah', warga maya puji suami bimbing, tak sia-siakan isteri mualaf

Keanggunan sut terletak pada potongannya yang meniru keindahan tubuh manusia. — Gambar hiasan/Agensi

Tetapi, suit bertahan kerana satu sebab yang kukuh.

Menurut Anne Hollander dalam buku klasiknya, Sex And Suits, sut pada dasarnya meniru bentuk badan manusia, diolah melalui pakaian supaya menyerupai keindahan patung Greek.

Siapa yang tidak ingin tampil sebegitu sempurna?”

Naib Presiden Kanan Bahagian Fesyen dan Persembahan Butik di Bergdorf Goodman, Linda Fargo berkata, sut berperanan pada dua tahap.

"Pada satu sisi, ia memberikan rasa teratur dan stabil dalam dunia yang semakin tidak menentu.

"Pada sisi lain, bagi generasi baharu, pemakaian sut kini berkembang menjadi satu gaya fesyen tersendiri," jelasnya.

Apa yang mudah tentang suit adalah ia memberikan kredibiliti serta-merta. Anda kelihatan kemas dan bergaya walaupun dengan sedikit usaha sahaja.

Trend ini juga membangkitkan nostalgia era 1990-an.

Pada dekad itu, selain grunge, muncul konsep minimalisme profesional melalui rekaan Helmut Lang, Jil Sander dan Martin Margiela yang memodenkan sut dengan gaya ringkas dan bersih.

Sut Martin Margiela (kiri) dan Jil Sander membawa sut ke tahap minimalisme profesional pada era 1990‑an. — Agensi

Tidak menghairankan rekaan sut menghiasi banyak pertunjukan fesyen baru-baru ini daripada koleksi Tom Ford oleh Haider Ackermann, parade kuasa wanita Sarah Burton di Givenchy sehingga debut Chanel oleh Matthieu Blazy dengan pantsuit tweed ringkas yang pernah digayakan Michelle Obama.

Walaupun sut mula kembali menjadi trend sejak beberapa tahun lalu, contohnya power shoulders Saint Laurent pada awal 2023, popularitinya kini mencapai tahap maksimum menurut enjin carian pertunjukan fesyen, Tagwalk.

Selepas pertunjukan musim bunga/panas 2025, terdapat lapan halaman sut di Tagwalk, diikuti 14 halaman untuk musim luruh/sejuk 2025 dan 19 halaman untuk musim bunga/panas 2026.

Tidak hairanlah Linda Fargo menyifatkan jaket sut sebagai pakaian asas yang wajib dimiliki dalam almari, terutama pada masa kini.

Penata gaya, Bailey Moon yang pernah bekerja dengan Presiden Joe Biden dan isterinya, Jill Viden serta Pamela Anderson berkata, beliau sering memilih blazer atau sut sebagai pelengkap gaya jika beliau tidak pasti mengenai kod pakaian.

"Apabila saya tidak pasti kod pakaian, sama ada untuk acara perniagaan atau sosial, saya selalu memilih blazer atau sut yang dipotong khas untuk melengkapkan penampilan.

"Sut boleh digayakan secara formal atau kasual, jadi ia sangat fleksibel untuk pelbagai gaya," ujarnya.

Begitu juga pereka fesyen, Gabriela Hearst yang sentiasa menekankan kepentingan potongan dan jahitan kemas dalam koleksinya menyifatkan sut sebagai penyelamat apabila beliau tidak pasti mahu memakai apa.

Salah satu rekaan Mattieu Blazy untuk Chanel yang menampilkan seluar berpinggang rendah dengan efek trompe l’œil. — Agensi

Sut boleh digayakan ke pelbagai acara, tidak kira karpet merah, tayangan perdana, pejabat mahupun makan malam.

Jaket dan seluar sut juga boleh dipakai secara berasingan dengan jaket dijadikan blazer manakala seluar digayakan sebagai pants menjadikannya pilihan yang lebih praktikal terutama ketika melancong.

Namun, sut hari ini berbeza dengan sut terdahulu. Cara pemakaiannya lebih fleksibel dan kreatif.

Linda mencadangkan untuk gabungkan sut dengan elemen kasual seperti denim, kemeja atau t-shirt ringan serta aksesori tidak formal.

Dalam koleksi Chanel, Mattieu Blazy menampilkan gaya itu dengan seluar berpinggang rendah untuk efek trompe l’oeil (ilusi optik pada pakaian), lengan jaket digulung dan t-shirt nipis dipakai di dalam untuk meniru trend streetwear.

Bagi lelaki, Moon mencadangkan memakai tank top, turtleneck atau baju-T di bawah sut, selain boleh menukar pocket square kepada brooch atau pin kegemaran.

Tegas Linda, jaket sut sesuai dipakai di mana-mana dan bila-bila masa dengan gaya yang fleksibel serta jarang mengecewakan berbanding pakaian lain.

Malah, ramai artis wanita Malaysia seperti Mira Filzah, Elfira Loy dan Adriana Adnan turut gemar menggayakan blazer, menjadikannya pilihan fesyen yang versatile di pentas hiburan dan acara sosial. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram