Suria FM kini berwajah baharu, ‘Muzik & Jiwa’ jadi taruhan


  • Hiburan
  • Isnin, 17 Nov 2025

Suria FM komited untuk terus melangkah ke hadapan membawa misi menjadi pilihan pendengar melalui Muzik dan Jiwa. — Gambar/SuriaFM

SURIA FM melangkah ke fasa baharu apabila mengumumkan penjenamaan semula yang merangkumi perubahan tagline, nama segmen serta keseluruhan identiti visual stesen berkuat kuasa pada Isnin (17 November).

Transformasi itu memberi nafas segar kepada Suria FM dengan penampilan yang lebih moden, bertenaga dan relevan, selaras usaha stesen untuk terus kekal dekat di hati pendengar masa kini.

Pelancaran rasmi strategi penjenamaan baharu tersebut dilakukan pada Isnin bagi memperkukuh kedudukan Suria FM sebagai radio pilihan utama rakyat Malaysia.

BACA LAGI: Jodoh Cklamovski bersama Harimau Malaya masih kuat, katanya takkan terlerai selepas jumpa Nepal

BACA LAGI: [VIDEO] Padang berlopak ganggu 'game', pemain PERR ATM terpaksa cedok air sebelum sepakan penalti

Morning-Morning Suria kini dikenali sebagai Pagi On Suria.

Inisiatif berkenaan turut bertujuan menarik minat pendengar muda tanpa mengabaikan kesetiaan peminat setia yang telah lama bersama stesen tersebut.

Selaras perubahan tersebut, Suria memperkenalkan tagline baharu 'Muzik & Jiwa', menggantikan tagline terdahulu, 'Segalanya Hiburan'.

Tagline baharu itu dipilih bagi menonjolkan kekuatan utama Suria iaitu gabungan muzik yang dekat dengan pendengar serta jiwa yang mencerminkan semangat positif, nilai kasih sayang dan keikhlasan dalam setiap penyampaian.

"Menurut Suria, perkataan 'Muzik' melambangkan identitinya sebagai stesen yang sentiasa menghidangkan pilihan lagu terbaik dari era 90-an hingga kini.

"Manakala 'Jiwa' pula menggambarkan kehangatan personaliti Suria yang bukan sahaja menghiburkan tetapi turut memahami emosi dan kehidupan seharian rakyat Malaysia.

"Sebagai sebahagian pembaharuan tersebut, beberapa segmen harian turut diberi nama baharu iaitu Morning-Morning Suria kini dikenali sebagai Pagi On Suria, Gaya Suria diperbaharui menjadi Vibe Suria, Muzik Top Suria dijenamakan semula sebagai Playlist Suria, Suria Petang kini menjadi Chill Petang Suria," katanya.

Gaya Suria diperbaharui menjadi Vibe Suria.

Manakala, segmen Kafe Suria dan Suria Cinta dikekalkan kerana masih menerima sokongan kukuh daripada pendengar setia.

Menjelang pelancaran rasmi tersebut, Suria telah menganjurkan majlis bertema 'Inilah Suria' pada 12 November 2025, menghimpunkan rakan media, klien dan rakan strategik.

Majlis tersebut memperlihatkan tayangan eksklusif mengenai hala tuju Suria untuk 2026, yang menyaksikan Suria tampil bukan sahaja sebagai stesen radio, tetapi juga sebagai sebuah jenama moden yang lebih komprehensif, berjiwa muda dan dekat dengan rakyat.

Transformasi Suria FM turut meliputi penambahbaikan kandungan program, pembaharuan pengalaman digital serta penyampaian lebih interaktif, memastikan stesen ini terus relevan di pelbagai platform dari udara hingga ke dunia digital.

Dengan semangat baharu ini, Suria FM komited untuk terus melangkah ke hadapan membawa misi menjadi pilihan pendengar melalui Muzik dan Jiwa.

Untuk interaksi di laman sosial, pendengar boleh menggunakan tanda pagar #SuriaMuzik&Jiwa #suriamalaysia #InilahSuria. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram