EMPAT tahun sudah berlalu, namun video bekas vokalis Kumpulan Arrow, Renggo, menyanyi sambil menebar roti canai masih terus menjadi tular dan igauan peminat hiburan tanah air.
Pada era kegemilangannya, Renggo atau nama nama sebenarnya Mohd Zain Ramli pernah menjadi idola remaja, disanjung bukan sahaja kerana vokalnya yang mantap, tetapi juga kerana keperibadiannya yang mesra peminat.
Lagu hitsnya seperti Niat Di Hati Tak Nak Berpisah sering menjadi siulan ramai, menjadikannya figura yang sukar dilupakan oleh peminat muzik tanah air hingga ke hari ini.
Maka tidak hairanlah rakaman video penyanyi berasal dari Perak itu menyanyikan lagu Niat Di Hati Tak Nak Berpisah atas permintaan pelanggan di kedainya di Kampung Sungai Petai, Kelantan tular kembali.
Video tersebut menarik perhatian ramai kerana walaupun tangannya sibuk menebar roti canai, vokalnya tetap merdu dan bertenaga, menunjukkan profesionalisme seorang penyanyi berpengalaman.
Renggo mula dikenali sebagai vokalis utama Kumpulan Arrow pada era 1990-an dan awal 2000-an.
Walaupun kini Renggo sudah tidak aktif dlam dunia hiburan, namun dia masih tidak kehilangan sentuhan vokal yang memikat.
Peminat yang menonton video tersebut turut meninggalkan pelbagai komen positif di media sosial.
Seorang pengguna, Wor Garage Transport, berkata suara Renggo tetap legenda dan tidak lapuk ditelan zaman.
"Suara dia memang legend habis, macam 'telan kaset'," katanya.
Sementara itu, Mohd Shahrin memuji kehebatan penyanyi itu yang mampu menyanyi sambil menebar roti canai, menegaskan bahawa penyanyi masa kini sukar menandingi bakat Renggo.
"Sambil tebar roti canai saja, penyanyi sekarang boleh buat macam tu? Memang legend," katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Sulaiman Ishak pula berpendapat Renggo sepatutnya diberi peluang menyertai program hiburan, kerana vokalnya yang mantap dan bertenaga masih mampu memukau penonton walaupun dalam suasana santai.
"Patut dah masuk Gegarvaganza, vokal Renggo Arrow sambil tebar roti canai masih berbisa," tulisnya.
Rakaman video ini sekali lagi membuktikan bahawa bakat sebenar tidak mudah pudar, walau di mana Renggo berada. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
