KOMIK dan animasi kini bukan sekadar hiburan kanak-kanak, malah menjadi antara industri global menguntungkan sehingga mencecah nilai berbilion ringgit di seluruh negara.
Dari Tokyo, Jepun hingga New York, Amerika Syarikat (AS), watak-watak manga dan anime diiktiraf dalam ikon dunia moden.
Ia juga ternyata hasil usaha keras yang dilakukan oleh tokoh legenda Jepun, Osamu Tezuka.
BACA LAGI: Jangan sampai ‘mengemis’, pengantin moden letak kod QR atas meja tetamu, hilang tradisi salam 'kaut'

Osamu Tazuka pencetus fenomena dalam industri penerbitan animasi di Jepun. — Agensi
Dikenali sebagai 'Dewa Manga', Tezuka mempelopori gaya penceritaan dan teknik animasi yang menjadi tulang belakang kepada budaya pop Jepun hari ini.
Karya-karyanya seperti Astro Boy dan Black Jack bukan sahaja mencipta sejarah dalam dunia hiburan, tetapi membuka jalan kepada gelombang kreatif yang menjadikan animasi Jepun itu diterima serta diraikan di seluruh dunia.
Namun, di sebalik kejayaan itu, terselit kisah kepayahan Tezuka dalam membangunkan industri tersebut.
Selepas Perang Dunia Kedua, Jepun berdepan kemiskinan dan mengalami perubahan besar dalam budaya serta hiburan.
Di tengah-tengah kegawatan itu, beliau tidak mampu untuk membeli komik AS kerana harganya yang begitu mahal.
Setiap keluaran komik Barat itu dijual pada harga sekitar RM13 (500 yen) senaskhah.

Kekangan kewangan membuatkan Tezuka nekad menghasilkan karyanya sendiri. — Agensi
Tezuka bagaimanapun tidak mengalah dan mengambil keputusan untuk menghasilkan komik hiburannya sendiri.
Pada 1947, beliau berjaya menerbitkan karya sulung berjudul The New Treasure Island dengan harga RM3 sahaja.
Lebih mengejutkan apabila karyanya terjual sebanyak 400,000 naskhah dalam tempoh setahun.
Tanpa meniru gaya AS, Tezuka memperkenalkan teknik penceritaan baharu seperti penggunaan close-up, wide shot dan ekspresi emosi yang mendalam.
Ia sekali gus menjadikan karya beliau kelihatan seperti filem dan melahirkan gaya manga versi lebih moden.
Menjelang 1950, Tezuka terpaksa meninggalkan pengajian dalam bidang perubatan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada dunia komiknya.
Beliau kemudian mengeluarkan karya Princess Knight, manga pertama dengan watak wanita yang kuat dan berpengaruh.
Ketika itu, jualan manga Jepun mula mengatasi komik AS dengan nisbah 10 kepada satu.
Kemuncak kejayaan Tezuka hadir pada 1963 apabila siri animasi Astro Boy diterbitkan.

Siri animasi Astro Boy yang masih menjadi kegemaran ramai sehingga kini. — Agensi
Bagi menjimatkan kos, beliau memperkenalkan teknik animasi terhad yang membolehkan rancangan televisyen dihasilkan dengan bajet lebih rendah.
Kos pembikinan animasi Jepun pada waktu itu hanya sekitar satu per 10 daripada kos animasi Disney.
Walaupun stesen televisyen AS menganggap animasi Jepun itu kelihatan 'murah, ia tetap menambat hati kanak-kanak di seluruh dunia sehingga mampu disiarkan di 52 buah negara termasuk Malaysia.
Terus melangkah ke hadapan, Tezuka hadir pula dengan siri Black Jack yang menyentuh tentang moral dan sifat kemanusiaan.
Sentuhan emosi di dalam penceritaan komiknya juga tidak dapat menandingi karya AS ketika itu.
Pada 1980, karya manga Tezuka mencatatkan hampir 40 peratus daripada keseluruhan bahan terbitan di Jepun.
Di kala jualan komik AS merosot, kebanyakan penerbit antarabangsa mula meniru gaya industri penerbitan Jepun.
Sebelum meninggal dunia pada 1989, Tezuka berhasil mencipta sejarah apabila menghasilkan lebih daripada 700 siri manga dengan jualan melebihi 100 juta naskhah.
Warisan peninggalannya kini menjadi tunjang kepada industri animasi dan budaya pop di Jepun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
