Keluarga 'sukan', Krisdayanti raih pingat perak Kejohanan Dunia Kungfu, anak, menantu pula aktif pickleball


  • Bonda
  • Isnin, 20 Okt 2025

Krisdayanti (kiri) dan keluarganya bukan sahaja berbakat dalam dunia hiburan, malah turut menyerlah dalam arena sukan.

KELUARGA selebriti terkenal Indonesia ini bukan sahaja berbakat dalam dunia hiburan, malah turut menyerlah dalam arena sukan.

Penyanyi terkenal, Krisdayanti mencatat sejarah apabila meraih pingat perak dalam acara senjata tunggal wanita pada Kejohanan Dunia Kungfu ke-10 yang berlangsung di Emeishan, Tiongkok, China bermula daripada Selasa lepas hingga Isnin.

Dalam kejohanan berprestij menghimpunkan peserta dari pelbagai negara itu, penyanyi berusia 50 tahun tersebut menampilkan aksi bertenaga dalam seni bela diri tradisional China.

BACA LAGI: 'Effort' luar biasa, lelaki guna AI hasil 'trailer' ala animasi Disney lamar kekasih hati

BACA LAGI: Cinta berputik sejak remaja, suami isteri pencipta Barbie dan Hot Wheels ubah dunia permainan kanak-kanak

Menerusi hantaran di media sosial, nenek kepada dua cucu tersebut berkongsi fotonya bersama medal dan sijil kemenangan sambil meluahkan rasa syukur atas peluang mewakili Indonesia di pentas antarabangsa.

“Ini satu kehormatan besar buat saya kerana dapat membawa nama Indonesia dalam bidang yang saya minati,” tulis isteri kepada ahli perniagaan dari Timor Leste, Raul Lemos itu.

Kejayaan itu disambut dengan penuh bangga oleh para peminat dan rakan artis yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah.

Nampaknya, bukan sahaja Krisdayanti, bahkan anak perempuannya, Aurel Hermansyah dan suami, Atta Halilintar juga aktif bersukan namun dalam cabang berbeza.

Atta sering berkongsi aktivitinya bermain pickleball, sukan raket yang kini semakin popular di Indonesia dan Malaysia.

Bukan itu sahaja, baru-baru ini, Atta turut memuat naik hantaran di Instagram mempamerkan kemenangannya dalam acara Padelink’s All Star Pickleball Tournament, sekali gus memperlihatkan sisi lain pasangan selebriti popular ini yang mementingkan gaya hidup sihat dan aktif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram