Wanita pakai seluar dalam ketat, tahan buang air kecil antara 7 punca terkena jangkitan saluran kencing


  • Sihat
  • Jumaat, 26 Sep 2025

Punca UTI tidak semestinya kerana tandas kotor, sebaliknya banyak berpunca daripada tabiat kecil harian yang sering diabaikan. — Gambar Hiasan

JANGKITAN saluran kencing atau urinary tract infection (UTI) bukan perkara asing, terutama dalam kalangan wanita.

Rasa pedih, kerap ingin ke tandas dan ketidakselesaan yang berpanjangan sering mengganggu rutin harian penghidapnya.

Menurut perkongsian Dr Khaw di laman Threads, punca UTI tidak semestinya kerana tandas kotor, sebaliknya banyak berpunca daripada tabiat kecil harian yang sering diabaikan.

BACA LAGI: [VIDEO] Sengaja halang laluan ambulans, pemandu dipaksa tengok sendiri pesakit kritikal, sebelum tampil mohon maaf

BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni

Berikut antara amalan mudah yang boleh membantu mencegah UTI:

1. Minum air secukupnya

Air memainkan peranan penting dalam menyingkirkan bakteria yang berada di saluran kencing. Jika tubuh kekurangan air, air kencing akan menjadi lebih pekat dan memberi peluang bakteria membiak.

Ramai hanya minum apabila berasa haus, sedangkan keperluan tubuh sebenarnya lebih tinggi. Disarankan untuk minum secara konsisten sepanjang hari.

Lebih banyak air bermakna lebih kerap ke tandas, dan ini membantu membersihkan saluran kencing secara semula jadi.

2. Jangan tahan kencing terlalu lama

Tabiat menahan kencing sering dilakukan kerana kesibukan kerja atau malas ke tandas, namun ia boleh meningkatkan risiko UTI.

Apabila air kencing dibiarkan terlalu lama dalam pundi, bakteria mempunyai lebih banyak masa untuk membiak.

Pundi kencing yang terlalu penuh juga boleh menjejaskan fungsinya dalam jangka masa panjang. Jadi, jika terasa ingin membuang air kecil, usah bertangguh. Lebih cepat ke tandas, lebih baik untuk kesihatan saluran kencing.

Air memainkan peranan penting dalam menyingkirkan bakteria yang berada di saluran kencing. — Gambar Hiasan/Agensi

3. Amalkan cara lap yang betul

Selepas menggunakan tandas, cara lap yang betul sangat penting, khususnya bagi wanita. Lap dari depan ke belakang, bukannya sebaliknya.

Sekali pun perkara ini nampak kecil, ia merupakan salah satu punca paling biasa jangkitan UTI berulang.

Mengamalkan teknik lap yang betul adalah langkah mudah tetapi sangat berkesan untuk mengurangkan risiko jangkitan.

4. Bersihkan diri selepas hubungan intim

Hubungan intim boleh menjadi salah satu faktor bakteria masuk ke dalam saluran kencing. Oleh itu, Dr Khaw menekankan kepentingan mencuci diri dengan betul selepas bersama, serta membuang air kecil sejurus selepas hubungan intim.

Tindakan itu membantu menyingkirkan bakteria yang mungkin memasuki uretra. Walaupun nampak remeh, ia antara cara paling efektif untuk mengurangkan risiko jangkitan bagi wanita yang sering mengalami UTI.

Rawatan sendiri tanpa pemeriksaan doktor boleh menyebabkan jangkitan menjadi lebih sukar dirawat kerana risiko rintangan antibiotik. — Gambar Hiasan/ Agensi

5. Elak pencuci feminin beraroma kuat

Produk pencuci feminin yang beraroma kuat sering dipasarkan sebagai 'penjagaan tambahan' untuk wanita, namun hakikatnya ia boleh mengganggu flora normal di kawasan intim.

Flora normal ini sebenarnya berfungsi sebagai pelindung semula jadi daripada bakteria berbahaya. Apabila keseimbangan ini terganggu, risiko UTI akan meningkat.

Justeru, penggunaan air bersih sudah memadai untuk membersihkan kawasan intim tanpa perlu bergantung pada pencuci berbau wangi yang agresif.

6. Pilih pakaian dalam yang sesuai

Kebersihan pakaian dalam memainkan peranan penting dalam mencegah jangkitan.

Elakkan pakaian terlalu ketat atau fabrik sintetik yang memerangkap haba dan kelembapan, kerana persekitaran lembap adalah tempat ideal untuk bakteria membiak.

Pastikan juga seluar dalam sentiasa kering dan tukar dengan kerap, terutama selepas berpeluh atau melakukan aktiviti fizikal.

UTI yang berlaku berulang kali mungkin petanda kepada masalah kesihatan lain yang lebih serius. — Gambar Hiasan/ Agensi

7. Jangan rawat sendiri dengan antibiotik

Satu kesilapan besar yang sering dilakukan ialah mengambil baki antibiotik lama apabila UTI berulang.

Menurut Dr Khaw, rawatan sendiri tanpa pemeriksaan doktor boleh menyebabkan jangkitan menjadi lebih sukar dirawat kerana risiko rintangan antibiotik.

Tambahan pula, UTI yang berlaku berulang kali mungkin petanda kepada masalah kesihatan lain yang lebih serius. Justeru, dapatkan pemeriksaan doktor untuk rawatan yang tepat, berbanding mengubati sendiri dengan ubat tidak sesuai.

Kesimpulannya, menjaga tabiat kecil dalam kehidupan seharian boleh menjadi langkah terbaik mencegah jangkitan berulang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram