
NAMA Malique atau Cairel Adrin Ibrahim tidak asing lagi dalam dunia muzik tempatan.
Figura kreatif yang sinonim dengan gelaran Mr General itu terus membuktikan pengaruhnya meskipun lebih selesa berada di belakang tabir.
Terbaru, Malique mengumumkan bakal melancarkan lima lagu baharu pada tahun 2025 dengan menampilkan barisan penyanyi popular tanah air seperti Yonniboii, Shiha Zikir, Datuk Jamal Abdillah, Ernie Zakri dan Benzooloo.
Perkongsian tersebut dibuat menerusi satu hantaran di Instagram rasminya yang memaparkan gambar sebuah buku nota berisi senarai kolaborasi bersama empat syarikat rakaman berbeza.
Pengumuman itu sekali gus mencuri perhatian ramai peminat yang menantikan karya terbaharu bekas anggota Too Phat tersebut dalam industri muzik.
Menariknya, sebelum projek lima lagu tersebut, Malique terlebih dahulu meriliskan single “Tanya Tuhan” duet bersama Yonniboii pada 18 Julai lalu di Apple Music dan beberapa platform digital lain.
Lagu itu menampilkan sisi reflektif dengan lirik mendalam yang menjadi tanda tangan unik rapper prolifik berkenaan.
Langkah berani Malique menampilkan gandingan artis dari pelbagai genre muzik dilihat mampu memberi nafas segar kepada industri hiburan tempatan, selain memperkukuh reputasinya sebagai antara pemuzik paling berpengaruh di Malaysia.
Kemunculan semula Malique dengan projek berskala besar ini jelas mengukuhkan statusnya sebagai seorang seniman yang sentiasa bereksperimen dengan karya, sekaligus membuktikan bahawa namanya tetap relevan meskipun jarang muncul di depan khalayak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram