
DIKECAM hebat kerana membawa watak mentua yang menjalin hubungan terlarang dengan menantu dalam sebuah filem, Wulan Guritno sekali lagi mencuri perhatian warga maya.
Ramai penonton melabel karakter tersebut terlalu berani dan sukar diterima.
Namun begitu, di sebalik imej kontroversi di layar kaca, realiti kehidupan Wulan jauh berbeza.
BACA LAGI: Mandi sungai, berkhemah sejak usia 8 bulan, tip suri rumah didik anak-anak 'lupakan' gajet
BACA LAGI: Teruja, puas hati bina rumah idaman saiz 550 kaki persegi, konsep minimalis ala kondominium mewah
Menerusi satu hantaran di Instagram, pelakon berusia 43 tahun itu berkongsi gambarnya lengkap berpakaian sukan sambil memakai pingat selepas menyertai acara larian.
"Jujur paling malas lari, tapi kalau kasutnya selesa, boleh saja jalan," tulis Wulan pada ruangan kapsyen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya kagum dengan kecantikan dan disiplin beliau yang tetap menjaga kecergasan tubuh meskipun jadual penggambaran padat.
Selain larian, ibu kepada dua orang anak itu turut aktif dalam pelbagai aktiviti kecergasan lain termasuk bermain pickleball serta rutin workout.
Beliau juga sering berkongsi gambar dan video aktivitinya di media sosial, menjadikan gaya hidup sihat sebagai sebahagian daripada identiti peribadi yang memberi inspirasi kepada ramai pengikut.
Sekadar info, Wulan atau nama penuhnya Sri Wulandari Lorraine Guritno dilahirkan pada 14 April 1981 di London, United Kingdom.
Beliau mula aktif dalam dunia seni sejak awal 2000 sebagai pelakon dan pengacara program sukan.
Sepanjang kerjayanya, Wulan telah membintangi banyak drama popular dan filem di Indonesia, sekali gus mengukuhkan reputasinya dalam industri hiburan tempatan.
Antara karya terbaharunya termasuk filem Norma: Antara Mertua dan Menantu yang diangkat daripada kisah benar mengenai hubungan terlarang antara seorang suami dan ibu mertuanya.
Dalam filem berkenaan, Wulan membawakan watak seorang ibu yang mengkhianati anaknya dengan mengadakan hubungan sulit bersama menantu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram