
PELAKON terkenal China, Fan Bingbing secara rasmi menerima penganugerahan Darjah Datuk Kehormat sempena istiadat penganugerahan darjah kebesaran Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada Ahad.
Penganugerahan itu diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap peranan besar Fan dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara khususnya dalam sektor pelancongan di negeri bersejarah itu.
Memetik laporan The Star, Fan berkata, beliau berasa amat gembira dengan penganugerahan tersebut dan menghargai pengiktirafan diberi oleh Kerajaan Melaka.
“Ini adalah hadiah yang begitu berharga buat saya,” katanya.
Buat yang tidak mengenali pelakon China berusia 44 tahun itu, pasti tertanya-tanya siapa sebenarnya Fan Bingbing dan mengapa beliau dianugerahkan gelaran Datuk Kehormat di Melaka.
Fan Bingbing bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selepas menerima gelaran Datuk Kehormat di Melaka pada Ahad.
Ini sebab beliau mendapat pengiktirafan tersebut:
1. Pelakon terkenal bertaraf antarabangsa
Fan Bingbing ialah nama besar dalam industri hiburan China dan juga dikenali di peringkat global.
Beliau membintangi banyak filem popular, termasuk penampilannya dalam X-Men: Days of Future Past (2014).
Selain dunia lakonan, beliau juga ikon fesyen yang sering muncul dalam kempen antarabangsa dan acara karpet merah utama.
2. Dilantik sebagai duta pelancongan Melaka
Pada 2024, Fan dilantik sebagai Duta Persahabatan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka.
Pemilihan beliau dibuat kerana pengaruh besarnya dalam menarik perhatian masyarakat China terhadap Melaka sebagai destinasi pelancongan bersejarah.
3. Kejayaan promosi digital luar biasa
Hasil penglibatan beliau, promosi Melaka di platform media sosial China seperti WeChat berjaya meraih lebih 1.5 bilion tontonan.
Angka berkenaan dianggap sebagai salah satu pencapaian terbesar dalam sejarah pemasaran digital pelancongan Malaysia.
4. Melonjakkan kehadiran pelancong China ke Melaka
Bukan sekadar dalam talian, keberkesanan promosi Fan turut dapat dilihat pada statistik ketibaan pelancong.
Jumlah pelancong China ke Melaka meningkat mendadak daripada 204,818 orang pada 2023 kepada 664,687 orang pada tahun lalu.
Kerajaan negeri menganggap Fan sebagai individu yang berjaya melonjakkan imej Melaka di mata dunia.
Justeru, gelaran Datuk Kehormat diberikan sebagai tanda terima kasih dan penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam memajukan sektor pelancongan negeri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram