
PROSES menyusukan anak sering kali dilihat sebagai tugas semula jadi seorang ibu yang mudah, membahagiakan dan penuh kasih sayang.
Manakan tidak, jika melihat pada iklan, buku keibubapaan dan media sosial sering menggambarkannya sebagai detik indah yang mengukuhkan hubungan antara ibu dan anak.
Namun secara realiti, terutamanya buat wanita yang kali pertama melahirkan anak, proses menyusukan anak bukanlah perjalanan yang mudah.
BACA LAGI: Tekanan mental, beban kerja berlebihan antara punca kes penderaan kanak-kanak meningkat — Pakar
BACA LAGI: Dulu cuma serang golongan putus haid, kanser endometrium kini ancaman serius wanita muda — Pakar
Sebaliknya, ia boleh menjadi pengalaman mencabar, memenatkan dan sarat dengan tekanan emosi.
Apatah lagi apabila dibebani harapan tinggi daripada masyarakat yang sering meletakkan si ibu pada standard yang tidak realistik.
Tanpa sokongan sewajarnya, cabaran seperti bengkak susu, bayi sukar melekap, kurang tidur serta kekangan di tempat kerja boleh mendorong ibu mengalami kemurungan selepas bersalin.
Malangnya, tekanan ini kerap dipandang remeh atau dianggap sebagai dianggap sebagai ‘lumrah’ dalam dunia keibuan.
Dr Malar Kandasamy
Pensyarah Kanan Obstetrik dan Ginekologi Taylor's University, Dr Malar Kandasamy berkata, isu kesihatan mental berkaitan proses menyusukan anak masih belum mendapat perhatian sewajarnya walaupun ia memberi kesan besar terhadap kesejahteraan ibu.
“Ramai ibu di Malaysia menyusukan anak atas keinginan sendiri dengan sokongan pasangan mereka.
"Tetapi mereka sering berdepan cabaran seperti kekurangan ilmu, akses terhad kepada profesional kesihatan serta kemudahan penyusuan yang tidak mesra,” katanya dalam satu kenyataan pada Majoriti.
Jelasnya, kajian menunjukkan gangguan fizikal seperti bengkak susu, saluran tersumbat dan kesukaran bayi melekap bukan sahaja menyakitkan, malah mampu mencetus tekanan mental.
"Keadaan itu akhirnya boleh menjejaskan hubungan ibu dan anak serta meningkatkan risiko kemurungan selepas bersalin," tegas beliau.
Untuk rekod, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 merekodkan sebanyak 11.2 peratus wanita selepas bersalin di Malaysia menunjukkan tanda-tanda kemurungan.
Profesor Madya Dr Ganesh Ramachandran
Sementara itu, Ketua Perubatan Taylor's University, Profesor Madya Dr Ganesh Ramachandran berkata, sebahagian besar daripada wanita yang mengalami masalah kemurungan tidak mendapatkan rawatan kerana menganggap tekanan tersebut sebagai lumrah menjadi ibu.
"Tekanan terhadap ibu menyusu tidak hanya datang dari segi fizikal, tetapi turut berpunca daripada stigma masyarakat.
"Penggunaan susu formula sering kali dianggap sebagai kegagalan menjadi ibu yang baik.
"Tanggapan itu ditambah lagi dengan tekanan daripada media sosial serta pendekatan petugas kesihatan yang kadangkala terlalu tegar dalam menyampaikan mesej penyusuan," katanya.
Tambah beliau, wanita juga berdepan dilema di tempat kerja apabila perlu memilih antara tuntutan kerjaya dan keinginan meneruskan penyusuan.
"Dengan cuti bersalin hanya 90 hari serta ketiadaan dasar penyusuan mesra ibu di kebanyakan tempat kerja, ramai yang terpaksa berhenti lebih awal daripada yang dirancang," katanya.
Kebanyakkan wanita berdepan dilema di tempat kerja apabila perlu memilih antara tuntutan kerjaya dan keinginan meneruskan penyusuan. — Gambar Hiasan/Agensi
Melihat situasi tersebut, Dr Ganesh mencadangkan agar saringan kesihatan mental dimasukkan sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan selepas bersalin, di hospital kerajaan mahupun swasta.
Di samping itu, akses kepada kaunseling dan kumpulan sokongan rakan sebaya juga perlu diperkasakan.
Menurut Dr Ganesh lagi, antara organisasi yang aktif dalam menyediakan sokongan psikososial ialah Persatuan Kaunselor Rakan Sebaya Penyusuan Susu Ibu Malaysia, yang menyediakan ruang selamat bagi para ibu berkongsi cabaran tanpa rasa dihakimi.
“Masyarakat perlu lebih empati terhadap ibu menyusu. Hormati setiap pilihan mereka dan hentikan budaya membanding-banding.
"Kesihatan mental ibu sama pentingnya dengan fizikal, kerana seorang ibu yang sihat adalah tunjang kepada keluarga yang sihat,” katanya.
Untuk rekod, Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia disambut setiap tahun dari 1 hingga 7 Ogos, disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), UNICEF serta pelbagai kementerian kesihatan dan pertubuhan masyarakat sivil di seluruh dunia.
Ia menjadi platform penting untuk mengetengahkan isu, cabaran dan kepentingan sokongan menyeluruh terhadap penyusuan susu ibu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram