Salin nota bukan susahkan murid, sebaliknya bantu kuatkan memori dan belajar membaca, tegas guru


  • Massa
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Seorang ibu meluahkan rasa tidak puas hati apabila anaknya diminta menyalin semula nota daripada telefon pintar ke buku tulis. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

TINDAKAN seorang ibu meluahkan rasa tidak puas hati apabila anaknya diminta menyalin semula nota daripada telefon pintar ke buku tulis mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.

Menerusi perkongsian di Threads oleh pengguna akaun teta_sayangmeow, dia menyifatkan arahan tersebut sebagai membebankan pelajar, lebih-lebih lagi apabila jumlah helaian yang perlu disalin mencecah sehingga lapan keping.

“Memang sekarang cikgu bagi nota dalam telefon pintar budak-budak kena salin ke? Bukan sekeping dua sampai lapan keping.

BACA LAGI: [VIDEO] Tarian budaya Malaysia di pusat beli-belah Hanoi berakhir tragedi, pengunjung terjatuh dari tingkat 4

BACA LAGI: Hukuman pempengaruh Ija dan adik terlalu ringan jika dibandingkan kesan ditanggung pasukan SAR — Pakar Kriminalogi

“Bagi saya, baik print (cetak semula) dan tampal saja. Jadi masa berjam-jam menulis boleh buat latihan lain.

"Kasihan bebudak kalau kena salin,” katanya yang turut mengaku menasihatkan anak supaya menampal sahaja nota tersebut, namun dihalang kerana bimbang dimarahi guru.

Tangkap layar perkongsian nota yang perlu ditulis oleh pelajar terbabit. — Gambar Threads

Namun begitu, pandangan tersebut tidak dipersetujui oleh sebahagian besar pengguna media sosial yang mempertahankan amalan menyalin nota sebagai satu kaedah pembelajaran yang berkesan, khususnya dalam membantu daya ingatan dan kefahaman murid.

Seorang pengguna Threads, @hafiz_hisham00 yang merupakan pelajar dalam bidang pendidikan berkata, berdasarkan kajian yang dipelajarinya, penulisan semula nota adalah teknik yang terbukti membantu pelajar memahami dan mengingati sesuatu topik dengan lebih baik.

“Kita ada kajian masa belajar. Menyalin semula apa yang dibaca membantu pelajar faham lebih mendalam, terutamanya kalau mereka jenis yang jarang membaca.

"Percayalah, susah sekarang lebih baik daripada susah kemudian,” katanya.

Pandangan itu turut dipersetujui pengguna lain, @nrizty0_ yang menyifatkan pelajar zaman kini agak liat untuk membaca, dan teknik menyalin nota mampu menjadi alternatif yang menggalakkan mereka lebih fokus terhadap pembelajaran.

“Menyalin ni lagi ‘function’ untuk budak zaman sekarang. Diorang ni kalau suruh membaca, liat tau. Jadi, pilihlah nak susah sekarang atau susah masa depan anak,” katanya.

Sementara itu, @zulaikhazmnn pula menyatakan bahawa berdasarkan pengalamannya sendiri, teknik menulis semula nota memang terbukti berkesan untuk mengukuhkan ingatan dan memperdalam kefahaman.

“Menyalin nota adalah satu bentuk pembelajaran. Saya percaya guru ada alasan tersendiri kenapa mereka minta pelajar buat begitu,” ujarnya.

Pengguna @iamteehafaizal, yang juga merupakan seorang guru, menegaskan bahawa kebanyakan pelajar hari ini menghadapi beberapa cabaran dalam pembelajaran yang boleh ditangani menerusi teknik menyalin semula bahan pembelajaran.

“Puan, saya selaku guru, izinkan saya jelaskan keadaan pelajar zaman sekarang kerana ramai pelajar tak tahu cara menukar bahan yang guru beri kepada bentuk nota minda.

"Mereka kurang membaca. Menyalin nota membantu mereka sambil menulis, mereka membaca dan dalam masa yang sama, mengingat. Tiga perkara sekali gus.

"Ia melatih pelajar menulis dengan betul serta memperbaiki tulisan tangan masing-masing,” katanya.

Dalam era digital hari ini, kebergantungan kepada teknologi sebagai medium pembelajaran tidak dapat dinafikan.

Namun, pendekatan tradisional seperti menyalin nota masih relevan sebagai sebahagian daripada strategi pembelajaran aktif yang mendorong murid lebih memahami dan menghargai ilmu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram