Rumah inap tepi sawah di Perlis, pulang bawa balik harum manis


  • Nomad
  • Sabtu, 05 Jul 2025

Jangan lupa berkunjung ke Country Road Homestay di Simpang Empat, Perlis untuk percutian lebih selesa bersama keluarga tersayang

BUAT anda yang mencari penginapan inap desa di tepi sawah untuk bercuti bersama keluarga, apa kata kali ini anda cuba bermalam di sebuah kawasan bendang Country Road Homestay di Simpang Empat, Perlis.

Menerusi sebuah hantaran di Tik Tok Mr Sakai atau nama sebenarnya Mahadzir Ghazali, kawasan tersebut kelihatan bersih dan indah dengan pemandangan sawah padi di sebelah inap desa tersebut.

Lebih menarik, terdapat kolam renang bersebelahan bendang menambahkan lagi keindahan panorama terutama menjelang senja.

BACA LAGI: [VIDEO] Musim candat sotong di perairan Pantai Timur 'syurga' buat kaki pancing

BACA LAGI: Gua Kelam ke dua lebih mencabar, ada trek basah dan kering

 

Pemandangan sawah padi di waktu petang.

“Dekat sini vibe dia memang terbaik. Kawasan luar dan kawasan rumah inap berkonsepkan kabin itu betul-betul sebelah sawah. Kalau sawah padi itu sedang menguning lagi cantik dan ada masanya kita boleh melihat traktor sawah lalu di depan mata,” katanya ketika dihubungi Majoriti.

Mahadzir juga mencadangkan buat mereka yang berhasrat berkunjung ke sini, mereka perlu menempah penginapan ini lebih awal kerana ia sentiasa penuh dengan pengunjung.

“Jika dahulu padi dituai biasanya setahun dua kali, sekarang dengan teknologi yang ada proses itu dah boleh mencecah tiga atau empat kali dilaksanakan. Jadi pastikan anda tempah pada tarikh yang dimahukan,” jelasnya.

Bukan sekadar kemudahan serta reka bentuk moden yang menyediakan 12 unit penginapan, Country Road Homestay juga terletak berdekatan dengan ladang mangga harum manis.

“Dekat sebelah rumah inap ini pula ada ladang harum manis. Jadi, alang-alang datang atau melancong ke sini, memang rugi kalau tak bawa balik buah itu. Ingat selalunya, buah ini musim dia di antara bulan March, April dan Mei jadi rancanglah perjalanan itu betul-betul,” cadanganya.

Oleh itu, jangan lupa berkunjung ke Country Road Homestay di Simpang Empat, Perlis untuk percutian lebih selesa bersama keluarga tersayang.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram