[VIDEO] Di sebalik tragedi Juliana Marins, pendaki wanita Malaysia rupanya turut membantu misi SAR guna dron


  • Tular
  • Jumaat, 27 Jun 2025

Xiao E Ching (kiri) merupakan pendaki terawal yang membantu mengesan Marins selepas terjatuh ke dalam gaung di Gunung Rinjani baru-baru ini. — Agensi

TRAGEDI menimpa pendaki Brazil, Juliana Marins, yang terjatuh dari tebing Gunung Rinjani dekt Lombok, Indonesia baru-baru ini mencetuskan gelombang simpati antarabangsa.

Namun, di sebalik kejadian menyayat hati itu, tersingkap satu kisah luar biasa membabitkan keberanian seorang pendaki wanita Malaysia yang tampil membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan dron miliknya.

Wanita yang dikenali sebagai Xiao E Ching turut berkongsi detik mencemaskan itu menerusi akaun Instagram miliknya, @natadecoco_ee pada Selasa lalu.

BACA LAGI: Lepas 5 hari usaha menyelamat, Juliana Marins disahkan meninggal dunia lepas terjatuh gaung di Gunung Rinjani

BACA LAGI: [VIDEO] Media sosial Presiden Indonesia 'dibanjiri' rayuan selamatkan wanita Brazil jatuh gaung di Gunung Rinjani

Kongsinya, ketika kejadian pada pagi Sabtu, 21 Jun lalu, dia dan beberapa rakan sedang menuruni gunung sekitar pukul 10 pagi sambil merakam gambar menggunakan dron DJI Mini 3 Pro.

Ketika itu, mereka terdengar jeritan beberapa individu yang kelihatan cemas.

"Kami sangka mereka bertanya tentang rakaman dron, tetapi apabila kami mendekati mereka, mereka memberitahu bahawa seorang wanita terjatuh dari tebing dan perlukan bantuan segera," katanya.

 

 

 

 

E Ching turut menjelaskan bahawa dia dan rakannya hanyalah pelancong dari Malaysia yang kebetulan berada di lokasi kejadian, bukannya anggota pasukan penyelamat.

Namun selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu, mereka segera membantu dengan apa yang ada di tangan.

"Kami diberitahu kejadian berlaku sekitar pukul 5.30 hingga 6 pagi.

"Pendaki yang lain memaklumkan sudah menghubungi pasukan kecemasan, tapi belum ada tindakan. Keadaan jadi semakin cemas kerana mereka perlu tahu sama ada Marins masih selamat atau tidak," jelasnya.

Tanpa berlengah, E Ching dan rakan-rakannya menggunakan dron untuk mengesan lokasi mangsa. Dalam percubaan kedua, mereka berjaya mengenal pasti Marins yang terbaring kira-kira 200 hingga 300 meter di bawah tebing.

"Kami terus kongsikan rakaman itu kepada pendaki dan pasukan penyelamat. Tapi kami tidak dapat menghantar maklumat secara langsung kerana tiada liputan internet di atas gunung," katanya.

Sepanjang tempoh dua hingga tiga jam berada di lokasi, mereka melakukan empat pusingan pantauan dengan dron. Mereka juga menulis mesej di atas tanah dan menjerit ke arah lokasi mangsa bagi memastikan Marins kekal sedar.

“Kami hanya mahu pastikan Marins kekal sedar dan berdoa untuk keselamatannya.

"Rakaman video kami tidak akan dikongsi kepada umum dan hanya akan diberikan kepada keluarga mangsa jika diminta. Setakat ini saya masih belum berjaya menghubungi mereka,” ujarnya.

Perkongsian E Ching itu turut tular dan dikongsikan para pendaki di seluruh dunia.

 

 

Manakan tidak, ramai yang berasakan tindakan spontan itu akhirnya menjadi salah satu usaha awal penting dalam mengesan lokasi Marins.

Untuk rekod, Gunung Rinjani merupakan kawasan larangan penggunaan dron tanpa kebenaran.

Namun, E Ching menjelaskan dia memiliki permit sah dan tidak menyangka keizinan itu akhirnya menjadi penyelamat tidak rasmi kepada insiden yang tular itu.

"Kami hanya muat naik video selepas turun dari gunung kerana tiada isyarat. Sebaik sampai di bawah, kami terus semak status Marins.

"Kami benar-benar doakan dia selamat. Maaf kerana kami tidak dapat membantu lebih pada hari itu,” katanya lagi.

Namun di sebalik usaha  E Ching, operasi untuk menyelamatkan Marins berakhir dengan kedukaan apabila dia ditemui maut pada Rabu.

Terdahulu, media melaporkan Marins, 26, terjatuh ke gaung di lereng gunung berapi tersebut semasa mendakinya pada Sabtu minggu lalu.

Usaha mencari dan menyelamat diadakan untuk mengesan Marins, namun cuaca buruk nyata menyukarkan perkara itu untuk dilakukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram