
SIAPA sangka, daripada hanya memperoleh dua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seorang anak muda berjaya mencipta kejayaan membanggakan di bumi Amerika Syarikat apabila menamatkan pengajian lebih awal dalam bidang kejuruteraan.
Zul Hakim Zulhaimi, pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dari Purdue University, West Lafayette, Indiana menamatkan pengajian pada semester Spring 2025, lebih awal daripada jangkaan asal iaitu Fall 2025.
Dia menggenggam kejayaan dengan pengkhususan double major dalam Mechatronics Engineering Technology dan Automation & Systems Integration Engineering Technology, sekali gus melakar pencapaian luar biasa bagi seorang bekas pelajar aliran sastera.
BACA LAGI : [VIDEO] Umpama kerusi ajaib, tempat duduk 11A selamatkan nyawa dalam 2 nahas udara
BACA LAGI : Kombinasi import-lokal, Sabah FC mula tunjuk taring perkenal muka baharu
Lebih membanggakan, dia turut dianugerahkan Golden Honor Cord, satu pengiktirafan tertinggi kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik.
Menurut hantaran yang dikongsi di laman Facebook rasmi MARA USA, laluan kejayaan Zul Hakim tidak mudah.
Selepas semua permohonan ke universiti awam ditolak, dia mengambil inisiatif menyambung pengajian di German-Malaysian Institute (GMI) dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Teknologi Mekatronik, meskipun tidak mempunyai latar belakang sains.
Usaha gigihnya membuahkan hasil apabila berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang pada tahun 2021, sekali gus membuka jalan untuk menerima tajaan MARA ke luar negara.
Sepanjang pengajian di Purdue University, yang terkenal sebagai antara institusi terbaik dunia dalam bidang kejuruteraan.
Zul Hakim juga terlibat aktif dalam projek inovasi termasuk pembangunan prototaip exoskeleton pintar dilengkapi sensor daya dan sudut bagi tujuan aplikasi industri.
Anak muda tu turut dipilih sebagai pembantu pengajar (Teaching Assistant) bagi kursus Lean Six Sigma dan mewakili kumpulan dalam Tech Expo Purdue untuk membentangkan hasil inovasi kepada pemain industri dan akademik.
Kisah kejayaannya menjadi bukti bahawa latar belakang akademik bukanlah penghalang untuk mencapai impian, asalkan disertai semangat kental, kesungguhan serta keyakinan diri. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram