KPM siasat kes guru didakwa malukan murid beramai-ramai, berkali-kali ingatkan patuhi etika — Fadhlina Sidek


  • Massa
  • Isnin, 26 Mei 2025

Tangkap layar video tular seorang murid yang didakwa dimalukan beberapa orang guru di sekolah baru-baru ini.

KEJADIAN seorang guru didakwa memalukan seorang murid sekolah rendah di hadapan rakan sehingga memberi kesan emosi terhadap kanak-kanak berkenaan kini dalam siasatan Kementerian Pendidikan (KPM).

Memetik laporan Berita Harian, Menteri, Fadhlina Sidek, berkata perkara itu amat dikesali lebih-lebih lagi rakaman berkenaan turut tersebar dan memberi impak besar kepada masyarakat.

Tegasnya, KPM akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi memberi tumpuan kepada isu tersebut.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Gelaran boleh berubah, maruah tidak', wanita sebak terserempak bekas guru besar kutip kotak pada usia 81 tahun

BACA LAGI : [VIDEO] Rakaman pelantar minyak terbakar bukan berlaku di Sarawak, tiada kematian dilaporkan

"Guru sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa mengenai integriti dan etika sebagai penjawat awam walau apa juga isu yang terjadi.

"Saya juga yakin dan percaya ada ruang lebih selamat dan bersifat privasi untuk memastikan apa saja perbincangan dan isu dapat diselesaikan secara baik," katanya pada Isnin. 

Fadhlina Sidek

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran dan simbolik penyerahan Koleksi Komik Wira Anti Rasuah.

Koleksi komik tiga siri itu hasil kerjasama strategik antara Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, media melaporkan tular video berkenaan seorang murid sekolah rendah yang dimarahi beberapa guru di kantin sekolah yang mana murid berkenaan dipaksa untuk mengaku perkara yang tidak dilakukannya.

Video itu dirakam dan kemudian diberikan kepada ibu murid berkenaan.

Dalam pada itu, Fadlina berkata, pihaknya sudah meminta Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan untuk memperhalusi perkara ini dengan lebih serius kerana ia membabitkan integriti dan etika guru.

"KPM juga sebenarnya sudah berkali-kali mengingatkan kepada guru yang juga penjawat awam mengenai garis panduan sedia ada dan mematuhi etika serta integriti baik di dalam kelas, luar kelas dan media sosial sekali pun," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram