
"JADI isteri, jangan terlalu terlihat mencintai suami. Beri ruang juga untuk suami tunjukkan cintanya lebih besar."
Itulah nasihat ringkas namun mendalam yang diterima oleh seorang wanita, Agnie Imania Wildan daripada ibunya sebelum menempuh alam perkahwinan.
Ketika itu, beliau tidak benar-benar mengerti maksud di sebalik kata-kata tersebut.
Namun selepas lima tahun berkahwin dan melalui pelbagai fasa turun naik dalam rumah tangga, pesanan itu terasa begitu benar dan bermakna.
Beliau yang juga merupakan perunding terapi pasangan berkongsi kisah peribadi menerusi satu hantaran di laman Threads yang kini menjadi perhatian ramai, khususnya para wanita yang bergelar isteri.
“Secara jujur, pada masa itu saya berfikir, ‘Ibu, bukankah baik untuk saling mencintai?’ Tetapi selepas berkahwin, saya tahu apa maksudnya,” katanya.
Agnie (kiri) berasa perlunya memberi ruang untuk lelaki berusaha untuk memperjuangkan cinta hatinya.
Bagi Agnie, cinta dalam perkahwinan bukanlah tentang memberi secara sama rata.
Sebaliknya, ia adalah sebuah dinamik sentiasa berubah iaitu ada masa diri sendiri yang kuat dan ada ketika suaminya pula menjadi tiang utama dalam rumah tangga.
“Kadang-kadang saya penyabar, kadang-kadang dia pula menahan ego.
“Tetapi apabila saya terlalu kelihatan menyayangi, saya sering lupa diri saya juga penting," katanya.
Dalam keterujaannya untuk menjadi seorang isteri yang baik, Agnie mengakui pernah memberi segala-galanya iaitu masa, tenaga dan perhatian sehinggakan dia lupa bahawa dirinya juga perlukan cinta dan keutamaan.
Menurut Agnie, apabila seorang wanita menunjukkan cinta secara berlebihan, ia kadangkala menjadikan pasangan cenderung untuk leka, mengambil ringan usaha dan perasaannya.
Bukannya kerana tidak menghargai, tetapi kerana tidak pernah merasa perlu memperjuangkannya.
“Perasaan itu macam, ‘tak apa, awak mesti faham’. Sedangkan saya juga manusia yang mahu disayangi,” luah Agnie.
Daripada situ, Agnie mula memahami bahawa memberi ruang kepada pasangan untuk ‘berjuang’ dalam menunjukkan cintanya juga adalah penting.
Agnie berkata, jika semua diberikan oleh satu pihak sahaja, maka tiada ruang untuk pihak satu lagi menunjukkan usaha.
“Jika anda memberi segala-galanya dahulu, tidak ada ruang untuk dia memberikannya kembali. Dan akhirnya, anda memenatkan diri anda sendiri,” katanya.
Kata-kata ibunya yang dahulu kedengaran ‘kurang logik’ kini menjadi prinsip penting dalam hidupnya.
“Jadilah isteri, cukup cinta. Selebihnya biarlah medan perjuangan suami. Kerana cinta yang diperjuangkan lelaki… biasanya lebih lama," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram