[VIDEO] Orang awam jadi hero, bekerjasama dengan suami mangsa cekup peragut di Rawang


  • Tular
  • Isnin, 26 Mei 2025

Tangkap layar kejadian ragut di Rawang pada Isnin.

TINDAKAN pantas seorang suami yang peka terhadap keadaan sekeliling berjaya menggagalkan cubaan ragut ke atas isterinya dalam satu kejadian di Rawang, Selangor pada Isnin. 

Kejadian berlaku ketika pasangan tersebut sedang meletakkan barangan runcit yang dibeli ke dalam kereta yang diparkir di hadapan sebuah pasar raya sebelum wanita tersebut dihampiri seorang lelaki bertopi keledar.

Suspek kemudiannya cuba meragut rantai mangsa dan kedua-duanya kelihatan bergelut seketika. 

Bagaimanapun, jeritan mangsa dan reaksi segera suaminya yang mengejar suspek menyebabkan penjenayah itu terjatuh dan berjaya ditahan orang awam. 

Turut tular beberapa video memaparkan suspek ditahan oleh pihak berkuasa.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan orang awam, mangsa mengalami kecederaan ringan di leher dan dihantar ke klinik terdekat untuk mendapatkan rawatan, manakala nasib suspek tidak diketahui.

Namun, setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram