[VIDEO] Team Malaysia unggul di pentas dunia, Gombak Culture Group menang besar di Itali


  • Massa
  • Isnin, 26 Mei 2025

Guru pengiring, Mira Masmira (dua dari kiri) meluahkan rasa bangga dengan pencapaian kontinjen Gombak Culture Group yang mewakili Malaysia dalam pertandingan World Cup of Folklore Jesolo 2025.

KONTINJEN Gombak Culture Group yang mewakili Malaysia dalam pertandingan World Cup of Folklore Jesolo 2025 mencatat sejarah membanggakan apabila membawa pulang empat kejuaraan dan dua tempat kedua daripada enam kategori yang dipertandingkan.

Difahamkan pertandingan yang berlangsung di bandar peranginan terkenal Jesolo, berdekatan Venice, Itali itu turut menghimpunkan peserta dari seluruh dunia.

Pertandingan tahunan itu bukan sahaja menjadi pentas untuk mempamerkan seni dan budaya, malah menyediakan peluang unik kepada peserta untuk menikmati pengalaman penuh dengan nilai kesenian, kebudayaan dan hospitaliti yang ditawarkan oleh Jesolo.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Gelaran boleh berubah, maruah tidak', wanita sebak terserempak bekas guru besar kutip kotak pada usia 81 tahun

BACA LAGI: Selepas 2 jam ambulans tak muncul, penduduk Puncak Alam nekad hantar mangsa kemalangan ke hospital, 'seru' ahli parlimen segera bertindak

Berita gembira itu dikongsikan oleh salah seorang guru pengiring, Mira Masmira, menerusi laman Facebook miliknya, yang meluahkan rasa syukur atas kejayaan luar biasa pasukan Malaysia dalam pertandingan berprestij yang berlangsung di Itali.

"Syukur Alhamdulillah. Pasukan Malaysia menang besar di Itali," tulisnya pada Isnin.

Katanya lagi, Gombak Culture Group yang diwakili beberapa pelajar sekolah dalam negara dilihat cemerlang menerusi pelbagai persembahan yang menampilkan kepelbagaian budaya dan keunikan warisan seni Malaysia.

Antara persembahan yang berjaya menambat hati juri dan dinobatkan sebagai johan termasuklah tarian Sewang dan Kuda Kepang bagi kategori kanak-kanak dan remaja, Silat Tari Inai untuk kategori dewasa, serta gabungan nyanyian dan tarian Samrah menerusi persembahan bertajuk Balqis yang dipersembahkan oleh kumpulan campuran remaja dan dewasa.

Pada masa sama, pasukan itu turut meraih tempat kedua bagi tarian Magunatip dalam kategori dewasa dan persembahan Malaysian Art Dance yang menggabungkan unsur tarian Cina, Zapin dan Inang Kontemporari dalam kategori kanak-kanak dan remaja.

Kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, malah membuktikan bahawa seni budaya tradisional tanah air terus relevan dan mampu bersaing di pentas dunia.

Ia turut menjadi bukti usaha gigih para peserta serta komitmen para jurulatih dan pengiring dalam memastikan persembahan mencapai standard antarabangsa.

Mira turut menyatakan bahawa kejayaan ini adalah hasil semangat berpasukan dan dedikasi tinggi yang ditunjukkan sepanjang tempoh latihan dan pertandingan.

Hantarannya di Facebook dipenuhi ucapan syukur dan kegembiraan atas kemenangan besar berkenaan, yang bukan sahaja menjadi kenangan manis buat para peserta, malah satu kebanggaan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Dengan pencapaian itu, Gombak Culture Group pulang ke tanah air bukan sekadar dengan trofi dan pingat, tetapi dengan semangat baharu untuk terus mengangkat seni budaya Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram