HFMD bukan hanya serang kanak-kanak, golongan dewasa juga berisiko jadi penyebar senyap — Pakar


  • Sihat
  • Rabu, 21 Mei 2025

Jumlah kes HFMD yang dilaporkan di seluruh negara setakat tahun ini meningkat lebih tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu. — Gambar Hiasan/Agensi

PENYAKIT tangan, kaki dan mulut (HFMD) bukan hanya menyerang kanak-kanak, sebaliknya golongan dewasa juga berisiko dijangkiti dan menyebarkan virus tersebut meskipun tanpa menunjukkan sebarang gejala.

HFMD disebabkan oleh jangkitan enterovirus, termasuk Coxsackievirus A16, Coxsackievirus A6, dan Enterovirus 71 (EV-A71). 

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), kebanyakan pesakit pulih dalam tempoh tujuh hingga 10 hari tanpa rawatan perubatan. 

BACA LAGI : Kes HFMD meningkat 3 kali ganda berbanding tahun lalu, Selangor catat kes tertinggi — KKM

BACA LAGI : Bukan hanya di sekolah, awasi 5 objek harian berisiko jadi punca penyebaran HFMD

Bagaimanapun, virus ini sangat mudah menular melalui sentuhan langsung dengan ruam di kulit atau permukaan mukosa, serta melalui titisan pernafasan seperti batuk dan bersin.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Dekan Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata jangkitan dalam kalangan dewasa sering dipandang remeh kerana gejalanya lebih ringan. 

Namun, ujarnya, walaupun gejala terebut tidak memudaratkan tetapi mereka masih boleh menjadi pembawa virus yang aktif.

"Golongan dewasa yang dijangkiti HFMD boleh menjadi ejen penularan selama tujuh hingga sepuluh hari, walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom (asimptomatik)," katanya kepada Majoriti. 

Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh

Jelas beliau lagi, HFMD lazimnya dikaitkan dengan kanak-kanak kerana simptomnya lebih ketara, termasuk ruam yang menyakitkan di mulut, tangan, kaki dan kawasan lampin. 

"Bagaimanapun, individu dewasa tetap berisiko khususnya mereka yang terlibat secara langsung menjaga anak-anak.

"Virus ini berjangkit melalui sentuhan langsung dengan cecair badan seperti air liur, lendir hidung, lepuh atau najis pesakit. 

"Golongan ibu bapa, khususnya wanita yang banyak mengurus anak-anak sakit, berisiko tinggi dijangkiti," tegasnya. 

Tambah beliau lagi, meskipun simptom dalam kalangan dewasa sering kali ringan atau tidak disedari, mereka boleh menjadi penyebar senyap (silent spreader) yang meningkatkan risiko penularan dalam komuniti dan tempat kerja.

"Oleh itu, individu dewasa yang disahkan dijangkiti HFMD sebaiknya diasingkan. 

"Jangan keluar dari rumah dan cuba asingkan diri sekurang-kurangnya sepanjang tempoh simptom aktif, iaitu antara lima hingga sepuluh hari. 

"Jika dibenarkan, mereka boleh bekerja dari rumah (WFH) bagi mengelakkan penularan," katanya. 

Meskipun simptom dalam kalangan dewasa sering kali ringan atau tidak disedari, mereka boleh menjadi penyebar senyap (silent spreader) yang meningkatkan risiko penularan dalam komuniti dan tempat kerja. — Agensi

Beliau turut menjelaskan bahawa Enterovirus 71 (EV-A71), yang kerap dikaitkan dengan kes HFMD di Asia Tenggara, boleh menyebabkan simptom yang lebih teruk dalam beberapa kes, manakala Coxsackievirus A6 juga dikaitkan dengan gejala lebih agresif berbanding varian biasa.

"Sama ada dewasa atau kanak-kanak, penjagaan kebersihan diri amat penting. 

"Basuh tangan dengan sabun selepas menyentuh pesakit atau permukaan tercemar dan elakkan berkongsi peralatan peribadi. 

"Ini antara langkah mudah tetapi sangat berkesan untuk mencegah jangkitan," ujarnya.

Sharifa Ezat turut menegaskan bahawa biarpun komplikasi dalam kalangan dewasa jarang berlaku, pencegahan adalah langkah terbaik kerana penularan dalam komuniti boleh berlaku dengan cepat jika tidak dikawal.

Terdahulu, Majoriti melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah kes HFMD yang dilaporkan di seluruh negara setakat tahun ini meningkat lebih tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Sebanyak 99,601 kes dilaporkan sehingga minggu ke-17 tahun 2025 sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 266 peratus berbanding 27,236 kes yang direkodkan dalam tempoh sama pada tahun 2024.

Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 27,118 kes, diikuti Johor (9,864 kes), Perak (9,347 kes), Kelantan (7,147 kes), dan Kuala Lumpur serta Putrajaya (6,850 kes). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram