
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem sememangnya dikenali sebagai seorang ahli politik yang berjiwa rakyat dan sangat disenangi penduduk di kawasannya.
Malah sikapnya yang bersahaja dan mudah mesra dalam kalangan penduduk setempat seringkali menjadi bualan dalam kalangan warga maya.
Setiap gerak-geri Mohd Noor Helmy menyantuni dan menyelesaikan isu rakyat dikongsi dengan orang ramai menerusi media sosial supaya masyarakat dapat mengetahui kerja-kerja yang dilakukan serta masalah yang sudah diselesaikan.
BACA LAGI : Mengaku dapat 'back up' polis, mamat Rohingya cabar kesabaran penduduk Kemaman
BACA LAGI : 'Terima kasih sebab datang', guru coret kisah murid berkasut koyak semangat hadir sekolah
Terbaharu, melalui perkongsian Mohd Noor Helmy membantu tiga adik-beradik perempuan yang sudah lama tidak pergi ke sekolah.
Menerusi satu perkongsian video yang dimuat naik di platform media sosialnya, wakil rakyat itu dilihat menyantuni tiga beradik terbabit dalam suasana penuh empati, selain turut menyoal punca mereka tidak hadir ke sekolah.
"Umur berapa? 16, 16, 13? 10? Okay. Apa yang berlaku, kenapa tidak pergi ke sekolah?" tanya beliau yang membahasakan dirinya seagai Pak Cik Waibee dalam video tersebut.
Salah seorang daripada mereka hanya mampu menjawab ringkas.
"Tak tahu… cuma hutang, tak sekolah. Mama, nenek, abang dan rumah," kata salah seorang remaja perempuan tersebut.
Mereka turut memaklumkan sudah tidak hadir ke sekolah selama empat minggu.
Namun, apabila ditanya, mereka sebelum itu memaklumkan masih ke sekolah seperti biasa.
"Ada pergi, tapi dalam empat minggu tu, sehari sahaja pergi,” jelas salah seorang daripada mereka.
Prihatin dengan situasi itu, Mohd Noor Helmy segera menawarkan bantuan dan menyatakan hasrat untuk membawa mereka kembali ke sekolah.
"Kalau pak cik aturkan untuk awak pergi sekolah besok dan seterusnya, sampai dapat rumah untuk pindah ini, okay?
"Besok kita pergi beli buku sekolah, lepas tu kena pergi sekolah," katanya sambil memberi semangat kepada mereka.
Rakaman video itu mengundang pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya tersentuh dengan keprihatinan beliau serta cara lembutnya menyantuni anak-anak tersebut.
"Tolong letakkan waibee (Yang Berhormat) dalam 'beg kuning'. Klon pun tak apa, tempat saya memerlukan sangat pemimpin macam ini," kata Elesha Alwi.
"Alhamdulillah Yang Berhormat. Teruskan berjuang demi rakyat.
"Ramai yang susah dibawah yg pemimpin lain tak nampak. Ini amanah untuk Yang Berhormat jalankan. Ini juga amalan yang akan dibawa diakhirat kelak. Jangan jemu berjuang demi rakyat," kata MD Epl.
Sikap bersahaja dan dekat dengan rakyat sudah sinonim dengan Mohd Noor Helmy, malah sering menjadi buah mulut netizen yang mengikuti perkembangan beliau di media sosial dan sering kali diberikan jolokan nama 'hero rakyat'..
"Sama ada menyelesaikan masalah longkang, menziarahi warga emas atau menangani isu kebajikan seperti ini, Pak Cik Waibee atau kami panggil 'hero rakyat' ini terus membuktikan bahawa pemimpin yang benar-benar cakna masih wujud," tulis Muhd Kamal.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram