Kes HFMD meningkat 3 kali ganda berbanding tahun lalu, Selangor catat kes tertinggi — KKM


  • Primer
  • Isnin, 12 Mei 2025

HFMD boleh menyebabkan lepuh dan ulser di mulut, tangan dan kaki, demam serta hilang selera makan.

JUMLAH kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang dilaporkan di seluruh negara setakat tahun ini meningkat lebih tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, melalui  sebanyak 99,601 kes dilaporkan sehingga minggu ke-17 tahun 2025 sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 266 peratus berbanding 27,236 kes yang direkodkan dalam tempoh sama pada tahun 2024.

"Setakat ini, tiada kematian berkaitan penyakit HFMD dilaporkan.

BACA LAGI : [VIDEO] 'ALLAHUAKBAR', ibu hanya mampu mengucap takbir lihat anak lelaki 12 tahun ditemukan lemas di Baling

BACA LAGI : [VIDEO] 'Mak Su di ICU', netizen buat kerja, pemilik pikap langgar lari suami isteri di NKVE dikesan, siap tutup akaun Facebook

"Daripada jumlah keseluruhan kes tahun ini, 10,421 kes atau 10 peratus adalah berkaitan dengan wabak, manakala 90 peratus atau 89,180 kes berlaku secara sporadik," menurut kenyataan tersebut pada Isnin. 

Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 27,118 kes, diikuti Johor (9,864 kes), Perak (9,347 kes), Kelantan (7,147 kes), dan Kuala Lumpur serta Putrajaya (6,850 kes).

Dalam pada itu, sebanyak 2,649 kejadian wabak HFMD direkodkan setakat ini, iaitu peningkatan sebanyak 49 peratus berbanding 1,339 kejadian dalam tempoh sama pada tahun lepas.

"Daripada jumlah kejadian wabak tersebut, 578 berlaku di taska, diikuti 480 di tadika, 292 di prasekolah kerajaan (tabika) dan 251 di prasekolah lain," jelas KKM.

Beberapa objek harian boleh menjadi punca penyebaran virus HFMD secara senyap. — Facebook/PHM

Kementerian turut memaklumkan bahawa sebanyak 38,285 premis telah diperiksa di seluruh negara, termasuk taska, tadika, tabika, prasekolah dan rumah jagaan.

"Daripada jumlah tersebut, 1,140 premis  diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, manakala 430 premis ditutup secara sukarela,” katanya.

Dalam usaha membendung penularan penyakit tersebut, sebanyak 220 sesi dialog dan taklimat  dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh negara bagi memberi pendidikan kesihatan berkaitan HFMD.

Sehubungan itu, KKM menasihati ibu bapa dan penjaga agar mengamalkan langkah pencegahan seperti membasuh tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.

Ini termasuk memastikan mainan, tandas serta barangan yang sering digunakan dibersihkan secara berkala menggunakan sabun atau bahan disinfeksi.

"Barangan peribadi seperti cawan, tuala dan berus gigi tidak seharusnya dikongsi. 

"Kanak-kanak yang menunjukkan gejala perlu segera mendapatkan rawatan dan tidak dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak atau tempat awam," tambah kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut berkaitan HFMD, orang ramai boleh melayari portal infosihat.moh.gov.my atau mengikuti laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram