
STESEN radio popular, Suria FM mengumumkan pengenalan segmen malam terbaharu dikenali sebagai Kafe Suria yang bakal dikendalikan oleh Muhammad Irsyad Tarudin, atau lebih dikenali sebagai Irsyad bermula Isnin.
Segmen itu akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam, menggantikan segmen terdahulu, Suria Cinta yang kini akan menemui pendengar pada hujung minggu sahaja.
Dalam satu kenyataan, Suria FM berkata, Kafe Suria diinspirasikan daripada suasana kafe moden yang santai dan mesra, lengkap dengan elemen interaksi dan hiburan berinformasi.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Dalam peranannya sebagai ‘barista maya’, Irsyad dijangka menceriakan malam pendengar dengan seleksi lagu pelbagai genre dan perbualan penuh empati.
Konsep ini dirangka khas untuk menarik minat golongan anak muda yang mahukan hiburan berinformasi, cepat, dan relevan dengan trend semasa.
Dari isu viral, budaya popular, hingga topik harian dan kerjaya, Kafe Suria menyajikan kandungan yang berakar pada realiti generasi kini.
Ia menjadi pilihan ideal untuk mereka yang ingin berehat selepas seharian bekerja, belajar mahupun bagi yang inginkan peneman untuk berkongsi curahan hati serta memahami apa yang mereka inginkan.
Untuk rekod, Irsyad juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Agroteknologi) dalam bidang Akuakultur dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains (Master) Akuakultur di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sebelum menyertai Suria FM, Irsyad terlebih dahulu menjana pendapatan harian melalui kerja e-hailing, di samping menghadiri kelas dan makmal sebagai pelajar sarjana.
“Menjadi penyampai radio adalah impian saya sejak kecil. Setiap hari semasa berulang-alik dari sekolah di Kulim ke rumah di Sungai Petani, saya akan dengar radio dalam kereta bersama keluarga. Dari situlah minat saya bermula. Saya tertarik dengan cara penyampai berinteraksi dengan pendengar. Alhamdulillah, hari ini impian itu menjadi kenyataan,” kata Irsyad.
Rutinnya menyaksikan beliau akan pergi ke universiti setiap pagi manakala malam pula diisi dengan bertugas sebagai pemandu e-hailing di jalan raya.
"Saya tertarik dengan cara penyampai berinteraksi dengan pendengar. Alhamdulillah, hari ini impian itu menjadi kenyataan,” kata Irsyad.
Irsyad memilih menyertai Suria FM selepas melihat stesen tersebut sebagai stesen radio paling dekat di hati masyarakat.
“Ke mana saja saya pergi, gerai makan, stesen minyak, dalam kereta e-hailing atau di dalam bas, saya dapati kebanyakan mendengarkan Suria FM.
"Keistimewaan Suria FM di mata saya, radio ini sangat aktif dan agresif dalam menganjurkan aktiviti - aktiviti luar untuk lebih dekat dengan pendengar.
"Kandungan segmen di Suria FM juga lebih bersifat interaktif serta variasi dan menawarkan nilai kepada pendengar. Sebagai seseorang yang suka berbual dan mendengar cerita orang, saya rasa inilah tempat paling tepat buat saya,” tambahnya.
Sehubungan itu, bagi beliau Kafe Suria adalah ruang untuk bersembang, mendengar dan membina hubungan rapat dengan pendengar, sambil disulami dengan lagu-lagu yang sesuai dengan trend semasa.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin).
Ditanya mengenai perasaan apabila akan menggantikan tugas DJ Lin dalam mengendalikan segmen malam menggantikan Suria Cinta yang cukup popular dalam kalangan pendengar di samping pelbagai pengiktirafkan diterima, Irsyad menganggap perubahan itu bukan satu tekanan atau bebanan.
Sebaliknya beliau menganggap ia merupakan peluang terbaik untuk beliau terus mengenengahkan bakat dirinya serta memberikan sentuhan dan kelainan tersendiri.
“Saya tidak datang untuk mengubah suasana yang telah terbina, sebaliknya menghormati legasi itu sambil membawa elemen baharu yang lebih segar dan sesuai dengan selera generasi muda.
"Saya yakin dengan hala tuju yang ditetapkan oleh pihak pengurusan Suria FM, dan Kafe Suria hadir untuk mendekati pendengar dengan gaya yang lebih santai, moden dan mengikut arus semasa.”
Dalam pada itu, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) turut menyuarakan keyakinan terhadap kehadiran Irsyad yang mampu membawa pendekatan lebih segar dalam menarik minat pendengar muda.
"Kafe Suria bukan hanya menghiburkan, malah mewujudkan suasana santai selepas penat bekerja dan membina komuniti pendengar yang aktif dan setia.
"Untuk peminat Suria Cinta pula, jangan bimbang kerana susunan lagu yang menjadi identiti malam Suria termasuk lagu-lagu jiwang dan nostalgia era 90-an akan terus diputarkan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Irsyad atas kesudiannya menyertai keluarga Suria FM dan berharap perubahan ini akan memantapkan lagi kandungan yang kami tawarkan kepada pendengar di Suria.
Segmen popular Suria Cinta yang dikendalikan oleh DJ Lin akan mula bersiaran pada hujung minggu, Sabtu dan Ahad bermula pukul 8.00 malam hingga 1.00 pagi.
Kafe Suria akan menawarkan empat segmen utama setiap malam:
NTT (Nak Tahu Tak?) – 8.00 malam
Sorotan isu viral, makanan trending, gajet baharu serta topik semasa menarik, sesuai untuk memulakan malam dengan santai.
ON SET – 9.00 malam
Kupasan tentang filem, drama dan siri terkini atau throwback, disertai trivia menarik dari dunia hiburan.
KOLPI (Call & Kopi) – 10.00 malam
Ruang interaksi santai di mana pendengar boleh berkongsi cerita, hantar ucapan atau sekadar berbual dengan Irsyad secara langsung.
LAST (Lagu Sebelum Tidur) – 11.00 malam
Jam terakhir, peluang untuk meminta lagu pilihan dimainkan dengan berkonsepkan lagu-lagu galau dan cinta. Permintaaan lagu menerusi panggilan dan WhatsApp. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram