
DALAM dunia profesional, penampilan memainkan peranan yang sangat penting kerana ia menjadi elemen pertama yang mencipta persepsi seseorang terhadap individu tersebut.
Penampilan yang baik bukan sahaja mencerminkan keyakinan, tetapi juga memberi kesan kepada cara orang lain berinteraksi dengan kita.
Oleh itu, ramai yang menyedari bahawa untuk berjaya, penampilan yang kemas dan sesuai dengan situasi adalah salah satu aspek yang perlu diberi perhatian.
BACA LAGI: Ingin berehat, Suria FM hormati keputusan Sharifah Shahirah tak sambung kontrak
BACA LAGI: [VIDEO] Tak kenal siapa Ed Sheeran, polis India cabut mikrofon semasa busking walaupun ada permit
Dr. Sharifah Shawati.
Dr. Sharifah Shawati, seorang figura yang berpengalaman dalam dunia profesional, menekankan bahawa komunikasi yang berkesan dan penampilan yang positif memainkan peranan utama dalam membentuk imej profesional seseorang.
Beliau memulakan kariernya sebagai seorang pramugari di Malaysia Airlines (MAS). Namun sebelum itu, beliau sudah pun menyertai industri hiburan sebagai seorang model sambilan.
Selepas itu, beliau menemui peluang untuk menjadi penyampai berita di RTM dan TV3 yang mana baginya, penjenamaan imej penting untuk membina identiti diri.
Pengalaman tersebut membentuk asas kemahiran komunikasi dan interpersonal yang sangat penting dalam perjalanan kerjayanya.
Tidak hanya itu, beliau juga merupakan Perunding Imej Profesional dan pemegang Ijazah Kedoktoran ( DBA) dalam Penjenamaan Imej Korporat.
Dr. Sharifah Shawati ketika ditemu bual baru-baru ini.
Beliau sangat menekankan betapa pentingnya penampilan positif dan komunikasi yang berkesan. Beliau percaya bahawa penampilan yang menarik tidak hanya memberi impak awal yang baik, tetapi ia juga membentuk cara orang memandang kita dalam pelbagai situasi.
Menurut beliau, jika kita mahu merasa baik, kita perlu kelihatan baik. Penampilan menjadi cerminan diri yang menyampaikan mesej tentang keyakinan dan kredibiliti.
Mengulas mengenai cara pemakaian yang mampu melahirkan aura luar biasa dalam dunia professional, beliau berkata, warna yang sesuai dan padanan yang tepat boleh membantu mencipta aura positif serta menarik perhatian.
Pilihan warna yang tidak kontras boleh mengurangkan impak visual, menyebabkan kita kelihatan kurang berkeyakinan. — Gambar hiasan/Freepik
"Salah satu cara adalah warna yang kita pakai dan pembawakan diri kita. Kalau kita pakai cantik-cantik, dah tahu warna apa sesuai, tetapi tenaga kita pula tidak setara dengan penampilan, maka ia tetap nampak tidak menarik," katanya kepada Majoriti.
Bagi individu yang mempunyai kulit cerah, Dr. Sharifah Shawati mengingatkan untuk memilih warna yang berbeza dari tona kulit kita untuk mencipta kontras yang menarik dan memberi kesan 'Wow'.
Menurutnya, pilihan warna yang tidak kontras boleh mengurangkan impak visual, menyebabkan kita kelihatan kurang berkeyakinan.
'Kita kena tengok warna apa yang sesuai supaya nampak kontras dengan pemakaian kita. Ada sesetengah orang, dia pakai warna sama dengan kulit dia. Jadi bila dia lalu pada sesuatu majlis, orang buat tak tahu sahaja sebab tiada aura," jelasnya yang juga pengasas sebuah syarikat perunding imej, Adamaya Consultancy And Services Sdn Bhd.
"Jadi macam mana nak tahu kita menarik atau tidak dengan warna itu? Apabila kita beli sesuatu baju, kemudian letakkan baju itu dekat dengan muka kita. Kalau dia bagi satu cahaya dan cahaya itu nampak seri, maknanya itu adalah kontras," tambah beliau.
Selain penampilan, kecerdasan emosi memainkan peranan penting dalam mencipta keyakinan diri.
Menurut penulis buku Imej Anda Aset Anda itu, orang yang pandai mengawal emosi adalah orang yang berkaliber.
Beliau memberi contoh bagaimana seseorang yang menghadapi situasi sukar tidak harus biarkan emosi mereka menguasai diri.
Sebaliknya, seseorang yang bijak akan dapat mengawal emosi mereka dan meneruskan tugas dengan sikap positif, tidak kira seberapa kecil atau besar kesilapan yang dilakukan.
"Emosi yang tidak dikawal boleh merosakkan kesan penampilan. Apabila kita keluar untuk bertemu orang penting, kita harus mampu memisahkan masalah peribadi dan memberi tumpuan kepada tugas yang ada di hadapan,” jelas beliau.
Dalam aspek sesi temuduga pula, mekap ialah salah satu faktor yang turut menjadi perhatian. Dr. Sharifah Shawati menyarankan agar pemakaian mekap mengikut suasana.
“Untuk sesi temuduga, elakkan mekap yang terlalu berat. Pilih gaya yang lebih natural agar penampilan kelihatan lebih profesional dan sesuai dengan suasana,” tambah beliau.
Penampilan menjadi cerminan diri yang menyampaikan mesej tentang keyakinan dan kredibiliti. — Gambar hiasan/Freepik
Dr. Sharifah Shawati turut menyarankan agar individu yang baru mula membina kerjaya profesional untuk memahami pentingnya penampilan formal.
Walaupun ada trend di kalangan sesetengah tokoh terkenal yang memilih pakaian lebih santai seperti t-shirt, beliau menegaskan bahawa pemakaian formal tetap mempunyai tempat yang penting, terutama dalam situasi profesional yang memerlukan kita menunjukkan rasa hormat terhadap orang lain dan organisasi yang diwakili.
“Kita harus tahu memilih pakaian mengikut situasi. Pakaian formal adalah tanda penghormatan kepada peraturan yang ada, terutamanya dalam acara formal seperti mesyuarat atau majlis rasmi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai keistimewaan kecantikan atau beauty privillege. Katanya, kejayaan dalam dunia kerjaya bukan hanya bergantung pada penampilan semata-mata, tetapi ia memerlukan satu pakej lengkap yang terdiri daripada kepandaian, penampilan, sikap dan pengetahuan.
"Sebagai seorang yang menilai individu sebelum diterima masuk kerja, saya akan lihat ciri-ciri yang lebih kepada sikapnya sebab mungkin dia dah ada semua, tetapi dari segi sikap pula dia tiada. Jadi, saya tidak akan ambil mereka masuk,' tegasnya.
Menerusi penjelasan Dr. Sharifah Shawati, ia jelas menunjukkan kejayaan dalam kerjaya bukan hanya bergantung pada kemahiran atau kepintaran semata-mata, tetapi juga pada bagaimana kita mengurus penampilan dan emosi.
Dengan pendekatan yang betul dalam pemilihan warna, pakaian, dan sikap, seseorang boleh mencipta kesan pertama yang positif dan mencapai kejayaan yang lebih besar dalam dunia profesional. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram