
SATU kejadian paip pecah sehingga mengakibatkan pancutan air tinggi sehingga menjulang ke langit dilaporkan berlaku berdekatan sebuah jalan di Bandar Baru Sungai Buaya, Hulu Selangor pada Khamis.
Video berdurasi 23 saat mengenai kejadian itu dimuat naik oleh laman Facebook, MyHuluselangor.
Berdasarkan klip tersebut, sebuah pancutan air seakan-akan lumpur dapat dilihat menjulang tinggi hanya beberapa meter tidak jauh dari sebuah jalan.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Beberapa penunggang motosikal didapati berhenti di tepi jalan kerana bimbang terkena tempias air ketika melintasi laluan berkenaan.
Bagaimanapun, kenderaan seperti kereta dan lori dilihat masih boleh melalui jalan tersebut.
Dalam pada itu, tidak dapat dipastikan punca kepada kejadian terbabit.
Namun, kerja pembinaan dilihat dilakukan berdekatan tempat berkenaan.
Sementara itu, di ruangan komen, rata-rata dalam kalangan warganet tampil mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.
Malah, mereka turut melahirkan kebimbangan sekiranya kejadian terbabit boleh membawa kepada kemalangan lebih buruk serupa seperti kebakaran berpunca daripada kebocoran paip gas yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya pada awal bulan lalu.
"Mana kontraktor yang korek paip air tu? Nak jadi kes kat Putra Heights la itu untuk lepas tangan," tulis Rohaizad Ijat.
"Paip pecah tak apa admin, jangan gas pecah. Takut sekarang ini dekat kawasan situ banyak kerja-kerja menggorek," ujar Jamil Jamaluddin.
"Haaa korek lagi, sekali kena paip utiliti, air terjun la," kata Peter Anand.
Dalam pada itu, walaupun punca sebenar kejadian itu belum diketahui, Air Selangor mengesahkan kejadian terbabit di laman webnya sekitar pukul 1 tengah hari Khamis.
Kemaskini terbaru turut memaklumkan paip pecah berkenaan sudah dibaiki sekitar pukul 6 petang.
“Kerja pembaikan telah siap, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 1.30 pagi, Jumaat, 16 Mei.
“Tempoh pemulihan bekalan air adalah secara berperingkat dan berbeza-beza bergantung kepada jarak dan lokasi premis pengguna.
“Air Selangor ingin menasihatkan pengguna yang telah dan akan menerima bekalan air mereka supaya membiarkan paip mengalir sehingga air jernih sebelum menggunakannya untuk kegunaan harian.
"Sebarang pertanyaan dan aduan boleh dikemukakan kepada Pusat Bantuan melalui Aplikasi Air Selangor atau hubungi 15300," katanya.
Kawasan terjejas ialah Taman Sari Alamanda, Bandar Baru Sungai Buaya, Tol Sungai Buaya, Kampung Sungai Buaya, Anugerah Suria, Taman Bukit Teratai, Perodua, Kampung Mohd Taib, Taman Kesidang, Kampung Koskan dan Taman Ehsan Ibu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram